PENAMPANG: 19 Oktober 2025 – Konvensyen UPKO Bahagian Penampang menggesa Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick mengundurkan diri dari Kabinet Persekutuan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang telah mengiktirafkan hak Sabah menerima 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip dari negeri Sabah.
Ketua UPKO Penampang, Datuk Donald Peter Mojuntin meluluskan resolusi menyokong keputusan penghakiman ke atas Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) berkenaan hak 40% Sabah.
Konvensyen itu turut meluluskan resolusi agar Kerajaan Persekutuan mematuhi keputusan penghakiman tersebut supaya persetujuan dapat dicapai dalam tempoh 180 hari berkenaan pembayaran hasil tersebut.
Donald dalam ucapannya menyeru Presiden Parti, Datuk Ewon sebagai Wakil Rakyat Sabah dalam Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk mengundur diri dari kabinet Kerajaan Persekutuan sekiranya AGC memfailkan rayuan.
“UPKO akan bersolidariti dengan rakyat Sabah dan terus komited memperjuangkan hak rakyat Sabah sepertimana dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan iaitu merupakan salah satu matlamat perjuangan Parti UPKO,” ucapnya di Konvensyen tersebut.
Ewon, dalam ucapannya pula berkata, “Perdana Menteri, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri dan rakan-rakan Jemaah Menteri sudah maklum dengan pandangan saya agar AGC tidak failkan rayuan. Dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan, saya akan sampaikan pandangan ini secara rasmi supaya direkodkan dalam mesyuarat.”
Pada 3 Jun 2022, Ewon dan Ahli-ahli Parlimen, dan ADUN-ADUN PH Sabah memfailkan saman untuk mendapatkan perintah mahkamah agar Kerajaan Persekutuan melaksanakan pembayaran semula hasil persekutuan di Sabah pada kadar 40% seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan. Katanya, “Saya telah mengangkat sumpah sebagai ADUN dengan menyumpahkan taat setia kepada Negeri Sabah dan kepada Persekutuan Malaysia serta akan memerlihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Negeri Sabah.”
Dalam sidang media di Bundusan pada 8 November 2022, Ewon memberi keyakinan kepada rakyat dengan berkata, ”Kita tidak akan tarik balik saman yang kita failkan di mahkamah tinggi pada 3 Jun 2020, saya bersama 10 lagi wakil rakyat PH Sabah telah failkan saman ini dan kita tidak akan tarik balik biarpun Anwar jadi PM selepas PH menubuhkan kerajaan di peringkat persekutuan.”
Namun, pada 20 September 2023, dua belas wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dari Sabah menarik balik saman pemula (OS) bagi mendapatkan satu perintah mahkamah supaya kerajaan Persekutuan memperakui dan memberikan hak-hak Sabah yang termaktub dalam perlembagaan.
Mereka terdiri daripada Datuk Ewon Benedick (Ahli Parlimen Penampang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian), Datuk Wilfred Madius Tangau (Ahli Parlimen Tuaran), Chan Foong Hin (Ahli Parlimen Kota Kinabalu), Vivian Wong (Ahli Parlimen Sandakan), Senator Noorita Sual. Datuk Frankie Poon (ADUN Tanjung Papat), Datuk Christina Liew (ADUN Api-Api), Phoong Jin Zhe (ADUN Luyang), Jannie Lasimbang (ADUN Kapayan), Peto Galim (ADUN Inanam), Tan Lee Fatt (ADUN Likas) dan Awang Hussaini Sahari (bekas Ahli Parlimen Putatan).