ESSCOM Semarakkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2025 di Lahad Datu

LAHAD DATU: 14 Ogos 2025 – Dataran ESSCOM semalam dipenuhi semangat patriotisme apabila Program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat ESSCOM berlangsung meriah, disertai pelbagai acara menarik termasuk Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) dan Bendera Negeri Sabah 2025.

Majlis perasmian disempurnakan Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos, dengan kerjasama Pejabat Daerah Lahad Datu dan Jabatan Penerangan.

ESSCOM menjadi salah satu lokasi persinggahan konvoi KMJG yang diketuai Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor.

Acara turut dimeriahkan dengan Larian Kemerdekaan ESSCOM Runners, konvoi 40 motosikal melibatkan anggota ESSCOM, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am serta komuniti setempat.

Kemuncak sambutan menyaksikan kibaran bendera ‘Mega’ Jalur Gemilang dan Negeri Sabah, sebelum konvoi 20 kenderaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan dilepaskan.

Lebih 200 tetamu hadir, termasuk ketua jabatan, pemimpin masyarakat, wakil media dan penduduk tempatan, bagi menghangatkan suasana sambutan.

ESSCOM menyeru penduduk Zon ESS agar terus mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah di kediaman, kenderaan dan premis perniagaan sebagai simbol kesetiaan dan cinta kepada negara.

Sumber: Sabah Dimensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal