Gambar ilustrasi sahaja
Oleh: Nurul Fazliana Norman
KUDAT: 8 Julai – Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di daerah ini selepas menahan enam individu dan merampas 161.49 gram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM16,000 dalam operasi khas yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Kudat.
Operasi yang bermula pada jam 7 malam, 6 Julai hingga 4.45 pagi, 7 Julai itu, melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang menyerbu beberapa lokasi termasuk Kampung Tanjong Kapor, Kampung Landung Ayang, Kampung Perpaduan, Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Ehsan dan Kampung Muhibbah.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Hj Ibrahim berkata, semua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Beliau berkata, kesemua suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, pihak polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat untuk membantu membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah, khususnya di daerah Kudat.
Katanya, kerjasama masyarakat amat penting untuk memastikan kegiatan jenayah dadah dapat dibanteras demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
Sumber: Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat

