Enam Pelajar KV Keningau Terbit Artikel Bahasa Inggeris di Majalah Nusantara

photo 2026 03 06 15 55 59

KENINGAU: 6 Mac 2026 – Enam pelajar dari Kolej Vokasional (KV) Keningau mencipta pencapaian membanggakan apabila artikel bahasa Inggeris hasil penulisan mereka berjaya diterbitkan dalam majalah dwi-bahasa E-Magz keluaran institut pendidikan STIKIP PGRI Pacitan, Indonesia pada 4 Mac lalu.

Menurut Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, penerbitan tersebut merupakan edisi bulan Mac yang memfokuskan tema kesedaran terhadap pengurusan dan pengurangan bahan buangan.

Beliau berkata, dari enam pelajar yang terlibat, lima daripada mereka turut menerima sijil pengiktirafan dari penganjur selepas karya yang dihasilkan dipilih sebagai artikel terbaik.

Antara pelajar yang terlibat ialah Annys Anastasia Francis George dari program kosmetologi yang menulis mengenai inovasi produk topeng muka kosmetik berasaskan jerami nangka, iaitu bahan yang lazimnya dibuang. Inovasi tersebut dibangunkan bersama rakan sekelas sebagai usaha memanfaatkan bahan buangan kepada produk yang mempunyai nilai.

Seorang lagi pelajar, Nadiirah Naquyyah dari program teknologi elektrik, mengetengahkan isu peningkatan sisa elektronik akibat gaya hidup masyarakat yang cenderung menukar gajet dan peralatan teknologi secara kerap.

Sementara itu, pelajar program pendidikan awal kanak-kanak, Azzulfa Haryani, menyorot budaya kepenggunaan yang tidak terkawal sebagai antara faktor utama peningkatan bahan buangan dalam masyarakat.

Dua pelajar lain iaitu Avyda Tang Pei Chin dari program teknologi binaan dan Rosselina Senora Ungkak dari program kosmetologi pula menghuraikan amalan yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat, institusi dan individu bagi mengurangkan penghasilan sisa.

Noel Isaac Jeremy dari program teknologi automotif pula mengemukakan cadangan memanfaatkan sisa pukal seperti perabot dan bahan binaan untuk dijadikan karya seni kreatif yang mempunyai fungsi praktikal.

Menurut Lumang, pencapaian tersebut membuktikan pelajar kolej vokasional juga mampu menyerlah dalam bidang penulisan akademik dan pemikiran kritis, selain bidang kemahiran teknikal.

Beliau turut menegaskan bahawa idea dan cadangan yang diketengahkan oleh pelajar berkenaan wajar diberi perhatian kerana kebanyakannya lahir dari pengalaman mereka sendiri melalui penyertaan dalam pertandingan inovasi dan pelaksanaan projek sosial.

Majalah E-Magz tersebut boleh diakses secara dalam talian melalui laman sesawang penganjur di https://pbi.stkippacitan.ac.id/e-magazine/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal