Empat projek jalan atasi kesesakan Ranau, Kundasang

CB84AD89 BE5F 4909 8EEA 90BD2A69B51E A88ABEA8 E8A7 4AF7 83BD C9119C71F281

KOTA KINABALU: 23 Julai 2026 – Kerajaan negeri melaksanakan empat projek jalan sebagai langkah jangka pendek dan jangka panjang untuk mengatasi kesesakan lalu lintas di Pekan Ranau dan Kundasang, khususnya pada hujung minggu, musim cuti sekolah dan musim perayaan.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, berkata dua projek yang sedang dilaksanakan ialah naik taraf Jalan Kampung Mohimboyon–Lipantai–Pahu dan Jalan Tambiau–Sarapong, manakala dua lagi projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) ialah pembinaan Jalan Ranau Bypass dari Bundu Tuhan ke Kilimu dan naik taraf Jalan Kampung Mesilau–Kampung Lipasu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Haji Rusdin @ Musidi Riman (Paginatan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Menurut beliau, projek naik taraf Jalan Kampung Mohimboyon–Lipantai–Pahu sepanjang enam kilometer kini mencapai kemajuan fizikal 69.69 peratus dan dijangka siap pada 2027, manakala projek Jalan Tambiau–Sarapong sepanjang 4.05 km mencapai kemajuan fizikal 5.42 peratus dan dijangka siap pada 2028.

Kerajaan turut merancang pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki di beberapa lokasi strategik di bawah Program Pengurusan Trafik JKR Sabah demi melancarkan aliran trafik dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Untuk langkah jangka panjang, Jalan Ranau Bypass sepanjang 30 km kini berada pada peringkat kajian dan penyediaan reka bentuk terperinci, manakala projek naik taraf Jalan Kampung Mesilau–Kampung Lipasu sepanjang lapan kilometer telah diluluskan di bawah RMKe-13 dengan kos projek RM138.661 juta dan siling peruntukan RM40 juta.

Beliau berkata pelaksanaan projek-projek berkenaan dijangka menyediakan lebih banyak laluan alternatif, meningkatkan kapasiti jalan, mengurangkan kesesakan lalu lintas, memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal