SEMPORNA: 3 Februari 2026 – Polis menahan empat lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kes kecurian enjin bot di Sea Star Resort bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Semporna berkata, pemilik resort iaitu lelaki berbangsa Cina menyedari kejadian itu pada 27 Januari lalu di waktu pagi selepas mendapati sebuah enjin bot jenama Yamaha 15 kuasa kuda (hp) yang disimpan di dalam stor telah hilang.
Menurut beliau, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah merakam tiga lelaki datang ke lokasi pada tengah malam menggunakan sebuah bot kecil sebelum salah seorang suspek memasuki stor dan melarikan enjin bot itu.
Anggaran kerugian akibat kejadian tersebut dianggarkan bernilai RM7,500 dan laporan polis dibuat pada malam 28 Januari 2026.
Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan seorang lelaki warga asing di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bangau-bangau, Semporna.
Hasil tangkapan membawa kepada rampasan sebuah bot kayu dan sebuah enjin bot Yamaha 40 kuasa kuda (hp).
Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki di Kampung Pulau Lumanggas, Semporna, serta rampasan sebuah enjin bot Yamaha 15 kuasa kuda (hp) yang dipercayai berkaitan dengan kes tersebut.
Kesemua suspek didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Sumber: Polis Daerah Semporna
