Elnara Wakil Malaysia Termuda Di I Am Model Search International 2026

Gambar Elnara Wakil Malaysia Termuda

BANGKOK: 16 Januari 2026 – Elnara Asha Mohd. Fauzi, berusia tujuh tahun merupakan wakil termuda Malaysia ke persada antarabangsa untuk menyertai pertandingan I Am Model Search International 2026 yang berlangsung di Korat, Thailand, pada 17 Januari – melangkaui kebiasaan dunia kanak-kanak seusianya.

Dengan panggilan mesra sebagai Nara, langkahnya ke pentas antarabangsa bermula ketika menyertai pertandingan Little Miss Heritage 2025 di Kota Kinabalu, di bawah pengurusan December Teo. Elnara terpilih untuk mewakili Malaysia dalam I Am Model Search International 2026, sebuah pertandingan antarabangsa di bawah kelolaan Double Event Management.

Ketika ditemubual, ayah Nara, Fauzi Hanif berkata, pemilihan dibuat berdasarkan kemampuannya menambat hati juri menerusi persembahan yang ditampilkan sebelum ini.

“Kriteria penilaian merangkumi persembahan pentas, peragaan busana, dan penampilan keseluruhan yang menyerlah meskipun pada usia yang masih muda. Elnara adalah wakil tunggal Malaysia bagi kategori kanak-kanak dan juga peserta termuda dalam kategori tersebut,” jelas Fauzi.

WhatsApp Image 2026 01 15 at 23.17.56

Elnara akan bertanding dalam kategori kanak-kanak berumur 7 hingga 11 tahun di pertandingan yang menghimpunkan 50 peserta termasuk kategori dewasa dari 20 buah negara pada 13 hingga 19 Januari 2026.

“Setelah diumumkan terpilih mewakili Malaysia ke pertandingan berprestij ini, kami terus melakukan persiapan yang diperlukan termasuk mengambil jurulatih catwalk peribadi, Yuri Berto, dan menyediakan busana untuk pertandingan ini,” ujar Fauzi.

Sejak tahun 2025, Elnara mencatat siri pencapaian yang membanggakan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, antaranya Juara Little Miss Kaamatan KDCA, Juara Little Miss Bollywood, Juara Runduk Dazanak (daerah Keningau), kedudukan podium dalam pertandingan Ratu Cilik Malaysia, Runduk Dazanak Peringkat Negeri Sabah, dan beberapa pertandingan peragaan busana lain.

Fauzi berkata, dalam penyertaan sulung di pentas antarabangsa itu, Elnara meletakkan sasaran yang jelas, “Jangkaan kami adalah untuk Elnara berada dalam Top 3 peringkat keseluruhan.”

Menurutnya lagi, sokongan terhadap Elnara bukan sahaja datang dari kalangan keluarga terdekat tetapi juga dari saudara-mara, rakan-rakan dan guru-guru.

“Minat Elnara dalam dunia fesyen dan beauty pageant memang kuat, dan kami sebagai ibu bapa memberikan sokongan penuh,” ujar Fauzi sambil menambah, pihak sekolah yang telah dimaklumkan sangat menyokong perjalanan Elnara, apalagi pertandingan berprestij berkenaan membawa nama Malaysia.

Ketika ditanya mengenai kos pembiayaan, Fauzi berkata, ia ditanggung penuh oleh keluarganya. Namun, Elnara turut menerima sokongan dari mereka yang percaya dengan potensinya.

“Busana pertandingan ditaja oleh National Director, December Teo, busana Elnara sendiri yang dijahit oleh neneknya, dan sumbangan dari Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal