DVS Sabah rampas produk ayam sejuk beku tanpa permit bernilai RM268,410

DVS operasi2

KOTA KINABALU, 5 Februari 2026: Operasi penguatkuasaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) berjaya menggagalkan percubaan membawa masuk produk ayam sejuk beku tanpa permit import yang sah, berdasarkan hasil maklumat risikan, pada 30 Januari lalu.

DVS operasi4 1

Operasi yang diketuai oleh DVS Wilayah Kota Kinabalu itu melibatkan pemeriksaan sebuah kontena 40 kaki di Pelabuhan Sepanggar sebelum tindakan susulan diambil di sebuah permis bilik sejuk, di Inanam Laut.

Pemeriksaan mendapati pemilik gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen import yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

DVS operasi3 1

Susulan itu, tindakan sitaan telah diambil ke atas 27,000 kilogram produk paha ayam sejuk beku dengan nilai anggaran RM268,410.00, selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

DVS operasi1 1

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata, “Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah atas tindakan pantas, berkesan dan profesional dalam melindungi keselamatan makanan serta kepentingan rakyat Sabah.”

“Kerajaan Negeri memandang serius sebarang cubaan membawa masuk produk makanan tanpa kelulusan yang sah kerana ia boleh menjejaskan kesihatan awam, biosekuriti serta kepercayaan rakyat terhadap sistem kawalan makanan negara,” katanya.

Jelasnya lagi, operasi itu merupakan bukti ketegasan dan komitmen berterusan Sabah dalam memastikan hanya produk yang mematuhi piawaian dan undang-undang dibenarkan berada di pasaran.

Sementara itu, Dr Zul Bahar, Pengarah DVS Sabah menjelaskan bahawa operasi tersebut dilaksanakan secara terancang dan berperingkat.

“Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama erat antara Unit Penguatkuasaan DVS Wilayah Kota Kinabalu, Unit Pemeriksa Veterinar serta Unit Kuarantin DVS KKIA/Kargo, selaras dengan komitmen berterusan DVS Sabah dalam memperkukuh keselamatan makanan dan biosekuriti negeri,” kata Dr Zul.

Dr Zul Bahar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas kerjasama erat dan sokongan padu yang diberikan dalam menjayakan operasi tersebut. Sinergi antara agensi-agensi ini membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berintegriti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal