Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 26 Oktober 2026 — Duo kreatif, Harold Egn dan Chris Pereira melancarkan jenama fesyen jalanan EGNism di Ruang Tamu Ekosistem, Alamesra, pada 24 Oktober 2026, untuk memperkenalkan hasil kreativiti mereka kepada orang ramai.
Majlis pelancaran itu dihadiri pengumpul, penggiat seni dan pelajar termasuk rakan dan ahli keluarga, dengan acara berlangsung dalam format forum yang dikendalikan podcaster Sabah, Stevell Lumbasi.

Dalam forum itu, kedua-dua pengasas berkongsi perjalanan, cabaran dan usaha mereka dalam merealisasikan EGNism sebagai sebuah jenama fesyen jalanan.
Menurut Harold Egn, idea tercetus sejak 2006, namun hanya dapat direalisasikan kebelakangan ini selepas mereka menemukan jaringan kerjasama yang sesuai.
“EGNism bermula dari idea yang tercetus ketika saya mula berkecimpung dalam bidang seni pada 2006,” katanya.
Sementara itu, Chris Pereira berkata pembahagian tugas antara mereka membolehkan aspek kreatif, pemasaran dan teknikal jenama itu diuruskan secara bersama.

“Harold mengendalikan aspek kreatif EGNism, manakala saya memberi tumpuan kepada pemasaran dan aspek teknikal, termasuk fotografi dan videografi untuk mempromosikan produk kami,” tambahnya.
Beliau berkata, walaupun proses penghasilan produk itu kelihatan seperti diusahakan secara kendiri, mereka turut bekerjasama dengan pelbagai syarikat, kumpulan dan individu untuk menghasilkan produk yang memenuhi keperluan termasuk standard mereka.
EGNism turut merancang menghasilkan lebih banyak produk kreatif pada masa hadapan dan membangunkan jenama yang mampan yang berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.
Usaha memperluas pasaran itu sudah bermula selepas EGNism memperoleh platform jualan fizikal di Plymouth, United Kingdom, sekali gus membuka peluang untuk memperkenalkan produk mereka kepada pasaran di luar negara.

