KOTA BELUD: 19 Mei 2026 – Kebiasaan bertutur dalam bahasa Dusun setiap hari bersama ibunya menjadi antara rahsia utama persiapan Pemenang Unduk Ngadau Kota Belud 2026, Althea Tan Pin Yan, 20, menjelang pertandingan peringkat negeri di Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA).
Althea yang juga pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, usaha tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan kefasihan bahasa ibundanya, malah menjadi pendekatan penting dalam memperkukuh keyakinan diri dan penghayatan terhadap budaya.

Katanya, minat terhadap pertandingan Unduk Ngadau telah berputik sejak kecil kerana sering mengikuti perkembangan kakaknya dalam pertandingan tersebut.
“Saya sebenarnya sudah lama minat pertandingan ini sejak umur tiga atau empat tahun lagi. Masa kecil dulu, saya pernah menangis sebab mahu ikut kakak saya bertanding tetapi belum cukup umur,” ujarnya sambil tersenyum.
Menurut Althea, persiapan lain termasuk menjaga pemakanan, disiplin kesihatan dan penggunaan pendakap gigi sejak tahun 2024 demi meningkatkan keyakinan diri di pentas pertandingan.
Selain itu, busana malam Sodop yang akan digayakan turut membawa nilai sentimental di mana ia dikait sendiri oleh ibunya menggunakan motif linangkit yang melambangkan kasih sayang dan warisan budaya keluarga.

Althea turut berhasrat untuk mengetengahkan keunikan budaya Kota Belud yang kaya dengan adat tradisi, bahasa dan semangat perpaduan masyarakatnya ke peringkat negeri.
“Saya mahu orang luar melihat keindahan budaya Kota Belud yang masih kuat dijaga,” jelasnya.
“Cabaran terbesar adalah menjaga nama baik Kota Belud dan kekal yakin walaupun berdepan tekanan,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyertaannya dalam Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan, tetapi platform untuk memberi inspirasi kepada golongan muda agar bangga dengan identiti diri sendiri.

Althea menzahirkan penghargaan kepada ibu bapanya yang menjadi tulang belakang kejayaannya, kerana sanggup berulang-alik dari Kota Belud ke Kota Kinabalu demi menyokong perjalanan beliau.
Untuk peringkat negeri di KDCA nanti, beliau meletakkan sasaran untuk memberikan persembahan terbaik dan menimba pengalaman berharga sambil membawa nama Kota Belud dengan penuh kebanggaan.
