TAWAU: 19 Ogos 2025 – Polis menahan dua lelaki warga asing selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah sebuah kedai perkakasan di Jalan Utara Baru, Tawau.
Tangkapan itu susulan siasatan berhubung penahanan seorang lelaki tempatan sebelum ini.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau melancarkan serbuan di sebuah kedai mencuci kereta di Jalan Morrel dan menahan seorang suspek berusia sekitar 28 tahun.
Pemeriksaan lanjut membawa polis ke Taman Gembira, sekali gus menahan seorang lagi lelaki berumur kira-kira 31 tahun.
Kedua-dua mereka kemudian memandu arah polis ke sebuah lokasi di Jalan Air Panas, di mana pihak berkuasa menemukan dua keping resit serta dua guni berisi wayar tembaga dipercayai hasil curian.
Kesemua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kemasukan tanpa izin.
Sumber: Polis Daerah Tawau