KENINGAU: 4 Februari 2026 – Dua remaja tempatan berusia 17 dan 19 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam perbuatan khianat merosakkan papan tanda jalan milik Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan Sinaron-Tongod, di bawah pentadbiran Balai Polis Sook.

Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, Supt. Yampil Anak Garai, kes itu terbongkar selepas sebuah video pendek berdurasi 22 saat memaparkan aksi kedua-dua suspek tular di media sosial.
Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau berjaya menahan kedua-dua suspek pada petang 2 Februari 2026 di Kampung Sinaron.
Hasil Siasatan awal, suspek telah mengaku melakukan perbuatan itu sebagai gurauan, sementara rakaman video berkenaan dimuat naik oleh rakan mereka ke status WhatsApp dengan tetapan ‘public’ sebelum tular di Facebook dan kemudiannya dipadam.
Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat terhadap harta benda milik kerajaan.
Sumber: Polis Daerah Keningau
