Dua orang pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Mohd Afiq Adam dan Ferdiana Osmund telah berjaya terpilih sebagai dua orang daripada lima pemenang Speak It English Video Contest yang diumumkan melalui laman sosial penganjur, Reskills, pada 8 Disember 2025. Pertandingan yang juga dianjurkan dengan Kerjasama Kementerian Belia dan Sukan itu adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Kedua-dua pelajar menyertai pertandingan ini dengan menghasilkan video selama 30 saat bertutur dalam bahasa Inggeris berdasarkan salah satu daripada tiga tema yang ditetapkan oleh penganjur iaitu kerjaya impian saya, kenapa Bahasa Inggeris penting dan mesej kepada diri sendiri di masa hadapan.

Pelajar pengurusan perniagaan Mohd Afiq Adam, 17, menjelaskan bagaimana Bahasa Inggeris membantu dia berkenalan dengan lebih ramai orang dan memperluaskan ilmu pengetahuan melalui video penyertaannya. Manakala pelajar teknologi automotif Ferdiana Osmund, 16, menceritakan impian dia menjadi mekanik kenderaan askar seperti ayahnya agar dia dapat membanggakan ayahnya yang telah berkhidmat demi pertahanan negara. Terdapat lima pemenang yang dinilai oleh penganjur berdasarkan video-video penyertaan yang diterbitkan di laman sosial peserta masing-masing bermula daripada tarikh tutup iaitu 28 November 2025. Setiap pemenang menerima hadiah wang ringgit.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, menzahirkan rasa tahniah kepada kedua-dua pelajar ini atas pencapaian mereka dan berasa sangat gembira atas pencapaian ini kerana ianya membuktikan minat dan usaha para pelajar dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka.
