SANDAKAN: 23 Mac 2026 – Dua lelaki ditahan dalam operasi berasingan selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dan pemilikan dadah di sekitar pusat bandar, Isnin.
Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Sandakan antara jam 4 petang hingga 8 malam di sebuah penginapan di pusat bandar.
Dalam kes pertama, seorang lelaki ditahan kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh badan sendiri.
Suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk ujian saringan air kencing dan didapati positif Methamphetamine dan Amphetamine.
Dalam kes berasingan, seorang lagi lelaki ditahan di kawasan tepi jalan Bandar Ramai-Ramai kerana memiliki dadah jenis syabu.
Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek kedua turut mendapati keputusan positif Methamphetamine dan Amphetamine.
Kedua-dua suspek ditahan di lokap IPD Sandakan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
