KUANTAN: 22 Ogos 2025 – Sebuah pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas ketika berlepas di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, malam Khamis.
Insiden berlaku sekitar jam 9.05 malam ketika pesawat berkenaan sedang melakukan penerbangan operasi.
Pesawat dilaporkan tiba-tiba terbakar sejurus meninggalkan landasan, sebelum meletup dan terhempas tidak jauh dari kawasan pangkalan.
Tindakan pantas juruterbang dan pembantu juruterbang menyelamatkan nyawa mereka apabila kedua-duanya berjaya keluar menggunakan kerusi anjal. Kedua-dua pegawai itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan berada dalam keadaan stabil.
Akibat insiden ini, landasan lapangan terbang ditutup sehingga tengah hari ini bagi tujuan pembersihan dan kerja keselamatan. Penutupan sementara itu memberi kesan kepada beberapa penerbangan komersial yang terpaksa dijadual semula.
TUDM dalam kenyataan memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan, selain memberi jaminan langkah keselamatan di semua pangkalan udara negara akan terus dipertingkatkan.
Kemalangan melibatkan F/A-18D Hornet itu sekali lagi menimbulkan perhatian awam terhadap aspek keselamatan pesawat tempur yang digunakan TUDM sejak dekad 1990-an.
Sumber: Bernama