KOTA KINABALU: 9 Oktober 2025 – Polis berjaya menumpaskan kegiatan loteri awam tanpa lesen selepas melakukan serbuan di kawasan Kepayan Ridge, hasil maklumat yang disalurkan orang awam melalui sistem QR Code Aduan Masyarakat.
Dalam operasi yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kota Kinabalu, dua individu tempatan, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita, ditahan kerana dipercayai bertindak sebagai ejen menjalankan aktiviti loteri tanpa lesen di kawasan berkenaan.
Pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan beberapa peralatan elektronik yang digunakan dalam urusan pertaruhan serta sejumlah wang tunai dipercayai hasil transaksi haram. Semua barangan tersebut dirampas bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman berat terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan loteri awam tanpa lesen.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan perjudian haram dan jenayah lain bagi membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang serta memastikan kesejahteraan masyarakat setempat.
Sumber: Kenyataan Media