Dua anak Sabah sertai misi bersejarah tawan Khusargang Peak

Screenshot 20260801 143604 Gallery

BALTISTAN: 1 Ogos 2026 – Dua pendaki dari Sabah menyertai ekspedisi bersejarah ke Khusargang Peak di Pakistan. Gunung setinggi 6,100 meter itu bakal ditawan untuk pertama kali oleh rakyat Malaysia.

Ekspedisi bermula 29 Julai itu dianggotai lapan pendaki Malaysia. Dua peserta dari Sabah ialah Jack Arrey Jaim dan Donney Jasmi.

Jack merupakan finalis Top 3 Mister Kaamatan (MRK) 2024 dan pengasas Jack Adventure. Donney pula pengasas Umbalai Brand. Enam peserta lain terdiri daripada dua pendaki dari Melaka, tiga dari Selangor, dan seorang dari Terengganu.

1003436966
Pasukan pendakian Malaysia di kaki gunung Khusargang Peak.

Jack menyatakan penyertaan ini bukan sekadar memenuhi impian peribadi, sebaliknya membawa misi memperkenalkan Sabah di pentas antarabangsa melalui pendakian lasak.

Ekspedisi itu sebahagian daripada manifesto MRK beliau untuk mengangkat imej negeri dan memberi inspirasi kepada lebih ramai anak negeri agar berani menyertai ekspedisi gunung bertaraf global.

“Pendakian ini langkah permulaan membuktikan anak Sabah mampu bersaing dalam ekspedisi altitud tinggi. Saya berharap lebih ramai rakyat Sabah tampil mencabar diri menyertai pendakian gunung lebih mencabar di luar negara pada masa hadapan,” katanya.

Pasukan itu juga berhasrat memperkenalkan pakaian tradisional dan keunikan budaya Sabah kepada komuniti pendaki antarabangsa sebagai usaha mempromosikan warisan negeri ke peringkat global.

Khusargang Peak dipilih kerana cabaran ekstrem. Pada ketinggian 6,100 meter, ia lebih tinggi daripada Gunung Kinabalu (4,095 meter). Keadaan bersalji dan berais memerlukan kemahiran teknikal, ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.

Antara cabaran utama lain ialah perjalanan ke puncak yang mengambil masa lebih seminggu. Suhu dijangka mencecah negatif 10 darjah Celsius. Kemudahan di kem pangkalan amat terhad; peserta hanya berkhemah tanpa penginapan selesa, bekalan air, tandas dan keperluan asas lain. Cuaca tidak menentu, termasuk risiko ribut salji, turut mengancam sepanjang pendakian.

“Ini pengalaman pertama kami di altitud 6,100 meter. Cabarannya besar, namun persiapan selama setahun lalu memberi keyakinan menghadapi setiap cabaran di gunung nanti,” katanya.

Ekspedisi ini bakal mencatat sejarah sebagai pasukan Malaysia pertama yang mendaki puncak Khusargang Peak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal