Dr. Velerie Wheelervon Primus, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Bingkor, Keningau, terpilih sebagai Top 50 Finalis Global Teacher Prize 2026, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada pendidikan antarabangsa.
Berasal dari pedalaman Sabah, Dr. Velerie dikenali sebagai pendidik berjiwa besar yang memperjuangkan pendidikan inklusif untuk murid neurodiversiti di kawasan luar bandar yang berdepan kekurangan akses diagnosis, terapi dan intervensi awal.

Berasaskan pengalaman profesional dan dorongan peribadi, beliau membangunkan dua pendekatan holistik, MIRACLES dan HOPE, yang menggabungkan terapi multisensori, pembelajaran berasaskan permainan, intervensi berasaskan alam semula jadi serta sokongan akademik individu.
Melalui inisiatif tersebut, ruang pembelajaran uzur berjaya ditransformasikan menjadi Pusat Pembelajaran Multisensori yang merangkumi Bilik STEM, Bilik Terapi Bermain, Bilik Snoezelen dan persekitaran pembelajaran lestari.
Impaknya amat membanggakan apabila murid bukan verbal kini mampu berkomunikasi, murid yang sebelum ini memerlukan alat bantuan berjalan boleh bergerak secara berdikari, manakala murid autisme mampu membaca, mengekspresikan emosi dan mengikuti pembelajaran dengan lebih yakin.

Selain di sekolah, Dr. Velerie turut menerajui advokasi dan pemerkasaan komuniti pedalaman Sabah melalui latihan intervensi asas kepada ibu bapa, peningkatan kesedaran neurodiversiti serta pengukuhan amalan pendidikan inklusif, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 4): Pendidikan Berkualiti.
Menurut Guru Besar SK Bingkor, Encik Sylvester Balang, pemilihan Dr. Velerie sebagai Top 50 Finalis Global Teacher Prize bukan sahaja satu kejayaan peribadi, malah kebanggaan buat sekolah, daerah dan negara.
Mengulas pencapaian tersebut, Dr. Velerie menyifatkan pengiktirafan itu sebagai milik murid, keluarga dan komuniti yang percaya pendidikan berasaskan cinta kasih mampu mencipta perubahan.
Global Teacher Prize, anjuran Varkey Foundation, merupakan antara anugerah pendidikan paling berprestij di dunia yang mengiktiraf guru luar biasa berimpak tinggi, sekali gus membuka mata dunia terhadap kekuatan pendidikan inklusif dan keupayaan guru Malaysia mencipta perubahan sebenar.
