Dr Jeffrey menang dengan majoriti besar, Dr Ronald pertahan kerusi Beluran
KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berjaya mempertahankan kerusi parlimen Keningau dengan memperolehi sebanyak 23,155 undi mengalahkan saingan terdekatnya daripada calon Pakatan Harapan (PH).
Calon PH Grelydia Gillod mendapat sebanyak 15,099 undi. Majoriti yang diperolehi Dr Jeffrey sebanyak 8,056 itu adalah jumlah yang besar berbanding hanya 45 majoriti yang diraihnya dalam pilihan raya umum ke-14 yang lalu.
Calon KDM Jake Nointin memperolehi 9,598 undi dan calon Warisan mendapat 7,020 undi.
Parlimen Keningau mempunyai 87,588 pengundi. Hari ini seramai 62.65 peratus keluar mengundi di kawasan pedalaman itu.
Sementara di Beluran , Datuk Dr Ronald Kiandee dari parti Perikatan Nasional (PN) juga berjaya mempertahankan kerusi parlimennya dengan mendapat sebanyak 11,303 undi berbanding saingan terdekat dari parti Barisan Nasional Benedict Asmat sebanyak 9,709 undi.
Majoriti adalah agak tipis iaitu sebanyak 1,594 undi.
Calon Warisan Rowiena Rasid mendapat 3,707 undi manakala Felix Joseph Saang dari Pakatan Harapan memperolehi 4,460 undi. Calon Pejuang Hausing Samsudin mendapat hanya 155 undi.
– Tv Sabah News
0 Comments