Dr. Bonaventure Boniface: Kepakaran Akademik Dipacu ke Pentas Politik Demi  Pembangunan Tamparuli

photo 6147794468304784314 y

TAMPARULI: 28 November 2025 – Dr. Bonaventure Boniface, calon DUN N.14 Tamparuli daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS), mengetengahkan manifesto berasaskan data dan fakta, dengan fokus kepada pembangunan belia, pendidikan, ekonomi, infrastruktur, dan pelancongan.

Sepanjang 25 tahun kerjayanya di Universiti Malaysia Sabah sebagai seorang ahli akademik, Dr. Boniface banyak terlibat dengan belia dan komuniti sekaligus menyaksikan perkembangan mereka melalui kajian dan program, namun beliau kecewa apabila banyak cadangan akademik yang dihasilkan tidak diterjemahkan kepada tindakan.

photo 6147794468304784315 y

Keadaan ini mendorong beliau menceburi dunia politik bagi membawa pendekatan berasaskan bukti, bukannya persepsi atau andaian, dengan matlamat membangunkan komuniti secara berkesan dan menekankan bahawa pemahaman seseorang terhadap politik dipengaruhi bukan sahaja oleh umur tetapi juga persekitaran pembesaran.

Dr. Boniface menekankan bahawa pendidikan awal yang memberi ruang kepada anak muda membuat keputusan secara bebas dan bertanggungjawab akan membentuk individu matang, rasional, dan berani menyumbang dalam arena politik, manakala penglibatan belia pula perlu disokong melalui pembangunan minat dan kefahaman terhadap sistem politik negara, bukan sekadar penyertaan dalam parti.

Dalam temubual bersama TV Sabah, beliau menjelaskan bahawa kawasan Tamparuli, Tenghilan, dan Topokon yang mempunyai geografi pelbagai termasuk kawasan berbukit dan rata memerlukan pembangunan kemudahan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, akses kemudahan asas serta perkhidmatan di kawasan terpencil termasuk Tiong Monggis, Kota Belud, Koporingan, Tambalugu, dan Pantai Dalit.

photo 6147794468304784313 y

Cabaran logistik ini menuntut perancangan pembangunan yang menyeluruh dan inklusif bagi memastikan kesejahteraan semua penduduk, manakala belia digalakkan menggunakan rasionaliti dan kematangan dalam menilai maklumat, terutamanya melalui media sosial, bagi mengelak daripada terpengaruh dengan kandungan palsu, slogan, atau propaganda politik.

Beliau menegaskan bahawa fokusnya adalah memastikan kepimpinan DUN Tamparuli berkesan, melengkapkan kepimpinan sedia ada di peringkat parlimen, memudahkan pembahagian tugas bagi kemajuan kawasan, serta yakin bahawa pendekatan baharu dan kaedah inovatif yang dibawanya mampu memberi impak positif kepada penduduk.

Dr. Boniface menjelaskan manifestonya terdiri daripada empat tonggak utama, dengan tonggak pertama ialah pembangunan ekonomi dan inovasi, termasuk penubuhan Pusat Keusahawanan dan Inovasi untuk golongan wanita, ibu tunggal, dan belia, selain penyediaan dana mikro pinjaman RM3,000 hingga RM5,000 untuk menyokong usahawan tempatan.

photo 6147794468304784325 y

Tonggak kedua ialah pembangunan modal insan, di mana beliau bercadang memperluas beasiswa kerajaan negeri bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian, manakala institut kemahiran akan ditubuhkan di Tamparuli untuk belia yang kurang berminat atau tidak cemerlang dalam akademik, menawarkan kursus seperti katering, menjahit, bengkel kereta dan motor, serta elektrik rumah bagi membuka peluang pekerjaan tanpa perlu merantau.

Tonggak ketiga menumpukan kepada pembangunan infrastruktur dan digitalisasi, termasuk menaiktaraf jalan kampung dan kawasan pertanian serta memastikan setiap kampung mendapat akses internet, termasuk kawasan yang sering mengalami “blank spot”, sejajar dengan pembangunan berterusan yang telah dimulakan pemimpin terdahulu.

photo 6147794468304784326 y

Tonggak keempat pula ialah pemeliharaan alam sekitar, tradisi, dan kebudayaan, di mana keindahan semula jadi Tamparuli akan dimanfaatkan untuk memajukan ekonomi melalui pelancongan seperti agro pelancongan, pelancongan budaya dan pelancongan filem dengan lokasi menarik termasuk pemandangan Gunung Kinabalu, disertai perancangan penyediaan tempat perhentian bas pelancongan serta penambahbaikan sungai tempatan.

Dr.Boniface yakin manifesto yang lengkap dengan perancangan dan pelaksanaan ini mampu meningkatkan taraf hidup penduduk Tamparuli, membuka peluang pekerjaan, memperkasa belia, dan memacu pembangunan mampan, sekaligus menyeru pengundi untuk menyokong kepimpinan berasaskan fakta dan integriti bagi membawa DUN N.14 Tamparuli ke arah kemajuan menyeluruh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal