KUALA LUMPUR: 14 Julai 2026 – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 dengan suara majoriti, selepas dibahaskan oleh 23 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang, kelmarin.
Antara pindaan utama ialah kepada Seksyen 22 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) yang menaikkan kadar penalti am kepada denda tidak melebihi RM250,000 bagi individu, manakala syarikat atau pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM1 juta. Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata kadar denda sedia ada didapati amat rendah dan tidak pernah disemak sejak akta berkenaan digubal pada 1994.
Dalam perbahasan tersebut, Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Gapari Kitingan menyatakan sokongannya terhadap RUU berkenaan namun menggesa kerajaan agar meneliti pelaksanaannya dengan pengubahsuaian yang menghormati semangat pembentukan Malaysia, janji-janji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin perkongsian kuasa dan bukannya pemusatan kuasa di Putrajaya.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah Persekutuan, bukan negara unitari, dan Sabah bersama Sarawak bersetuju membentuk Malaysia tertakluk kepada syarat perlindungan berperlembagaan (constitutional safeguards) iaitu jaminan bahawa beberapa perkara akan terus dikekalkan di bawah bidang kuasa negeri.
“Persoalannya bukan sahaja sama ada Sabah menyokong atau menolak RUU yang dicadang untuk meningkatkan keterjaminan makanan negara. Persoalannya ialah sama ada usaha itu perlu dilaksanakan dengan memusatkan kuasa di Putrajaya sehingga mengurangkan atau menghakis ruang kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan kepada negeri-negeri, khususnya Sabah dan Sarawak,” tegasnya.
Beliau menjelaskan bahawa padi dan beras bukan sekadar komoditi atau makanan asas rakyat, tetapi melibatkan dengan rapat industri pertanian, keterjaminan makanan, penggunaan tanah, pembangunan luar bandar, sumber air, pengairan, kebajikan petani dan pembangunan ekonomi negeri.
Menurut Jeffrey Kitingan, di bawah Perlembagaan Persekutuan, tanah dan air adalah di bawah Senarai Negeri, manakala beberapa aspek berkaitan pertanian berada dalam Senarai Bersama (Concurrent List). Ini bermakna khususnya kepada Sabah dan Sarawak, kedua-dua kerajaan negeri mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam hal-hal tersebut.
Ahli Parlimen Keningau itu turut membangkitkan kadar sara diri beras Sabah yang jauh lebih rendah iaitu hanya 21 peratus, kos logistik yang lebih tinggi, kawasan pedalaman yang luas, struktur pengeluaran pertanian yang berbeza dan kebergantungan kepada import yang tinggi.
Beliau juga menggesa kerajaan Persekutuan supaya mengiktiraf jelapang padi Sabah dan meluluskan peruntukan penanaman dan pengairan yang telah dimohon sejak beberapa tahun lalu.
“Sabah memerlukan fleksibiliti untuk menentukan dasar, pelesenan, insentif, pembangunan jelapang padi Sabah, kuasa pengimportan beras secara langsung, pengurusan stok strategic, termasuk mekanisme pengedaran dan pemasaran yang bersesuaian dengan senario setempat,” katanya.
Beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan satu mekanisme yang lebih menghormati struktur Persekutuan dan hak Sabah Sarawak, sama ada melalui pengecualian, pendelegasian atau penurunan kuasa pentadbiran kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.
“Keterjaminan makanan adalah tanggungjawab bersama. Namun dalam sebuah negara persekutuan seperti Malaysia, keterjaminan makanan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghakis pembahagian kuasa yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan,” ujarnya.
“Apa yang kita perlu perkukuhkan adalah kerjasama Persekutuan-Negeri, bukan pemusatan kuasa. Itulah semangat sebenar federalisme. Itulah baru semangat MA63 dan semangat pembentukan Malaysia pada tahun 1963,” tegasnya.
Dalam ucapan menggulung perbahasan, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin memaklumkan bahawa kementerian bersedia untuk berunding dengan Lembaga Padi dan Beras Sabah, dan juga Sarawak untuk mengukuhkan keterjaminan makanan dan memastikan pembangunan industri yang teratur di kedua-dua negeri itu.
Beliau juga berkata kerajaan akan mengekalkan fleksibiliti dalam pengurusan bekalan beras, termasuk membenarkan pendekatan yang berbeza bagi negeri-negeri tertentu.
RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 kini akan dibawa ke Dewan Negara untuk kelulusan sebelum menerima Perkenan Yang di-Pertuan Agong.

