Dewan Hongkod Gempar: Tiga Juara Sugandoi Sabah 2026 Diumumkan, Netizen Puji Peserta Hebat & Berbakat

Sugandoi Terbuka Juara

Oleh David E.

KOTA KINABALU: 23 Mei 2026 – Keputusan akhir Pertandingan Sugandoi Peringkat Negeri Sabah bagi tahun 2026 menyaksikan peserta dari pelbagai daerah merangkul gelaran juara dalam tiga kategori utama: Dazanak, Songkotoun dan Sugandoi Terbuka.

Pertandingan akhir Sugandoi Peringkat Negeri Sabah berjalan dengan lancar dan mendapat pujian netizen yang hadir dan yang mengikuti secara langsung (live) di media sosial TV Sabah.

Para peserta Sugandoi tahun ini dipuji netizen sebagai hebat dan berbakat sehingga mencabar pihak juri untuk menilai dengan lebih teliti.

Pertandingan sengit yang menampilkan persembahan vokal tradisional dan moden itu berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang, bermula jam 2.00 petang dan berakhir sekitar jam 8.15 malam. Acara hari ini mengumumkan juara, naib juara, tempat ketiga termasuk anugerah Persembahan Terbaik.

Pengerusi Pelaksana dan Koordinasi (MICC) Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Huguan Siou Lundu Mirongod Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan menyerahkan anugerah-anugerah kepada para pemenang.

Berikut adalah keputusan mengikut kategori:

Kategori Sugandoi Terbuka 

WhatsApp Image 2026 05 23 at 8.37.33 PM

– Juara: Christal Ann Stephen (Tuaran) 

– Naib Juara: Sadri bin Masrani (Penampang) 

– Tempat Ketiga: Arlone Milon (Pitas) 

– Persembahan Terbaik Kaamatan: Reynn Raphiel (Tamparuli)

Kategori Dazanak 

WhatsApp Image 2026 05 23 at 8.36.58 PM

– Juara: Qistina Izz Zara binti Roblin (Bandaraya Kota Kinabalu) 

– Naib Juara: Dhanella Ross Jefson (Matunggong) 

– Tempat Ketiga: Faiha Syakila binti Mohd. Saffe (Kudat) 

– Persembahan Terbaik Dazanak: Meldrick Dexter Deck Ferry (Beaufort)

Kategori Songkotoun 

WhatsApp Image 2026 05 23 at 8.36.39 PM

– Juara: Ambrose Poisil (Inanam) 

– Naib Juara: Jaidi Arifin (Paitan) 

– Tempat Ketiga: Pele bin Sumbing (Kota Marudu) 

– Persembahan Terbaik Songkotoun: Jaidi Arifin (Paitan)

Pengerusi Pelaksana Sugandoi Peringkat Negeri 2026, Datuk Evaristus Gungkit berkata pertandingan tahun ini menampilkan peserta yang lebih mantap, terutama dari segi vokal, sehingga pemenang sukar diteka oleh netizen.

Selain itu, acara kemuncak dimulakan lebih awal dan selesai sekitar jam 8 malam, seperti yang dijadualkan.

“Sambutan amat meriah dan memuaskan, sama ada di Dewan Hongkod mahupun secara dalam talian. Ia menunjukkan perkembangan dan peningkatan yang boleh dibanggakan.

“Walaupun sebelum ini terdapat beberapa cabaran teknikal — misalnya masa pertandingan yang berlarutan sehingga jam 2 pagi — pertandingan tahun ini tetap berjaya dilaksanakan. Oleh itu, perkara ini akan dikaji dan penyelesaian perlu diambil untuk pertandingan tahun hadapan,” katanya.

Kepada pemenang, Evaristus berkata, “Tahniah kepada semua pemenang. Gunakan peluang emas ini sebaik mungkin kerana pada tahun 2027 akan lahir lagi bakat-bakat baharu untuk kelangsungan seni kreativiti Kaamatan. Kepada yang belum berjaya, jangan putus asa dan cuba lagi.”

Pengerusi juga merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Sugandoi Kaamatan 2026, dan kepada netizen yang mengikuti dan menyokong sepanjang acara.

“Kita jumpa lagi di Sugandoi Kaamatan 2027.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal