KOTA KINABALU: 11 Januari 2025 – Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) menyifatkan pewujudan portfolio Ekonomi Kreatif di bawah Kerajaan Negeri sebagai satu “rezeki yang dimakbulkan” oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, kepada penggiat seni di negeri ini.
Presiden SAFVA, Chester Pang, berkata penubuhan Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) yang diterajui Datuk Nizam Abu Bakar Titingan merupakan langkah strategik, bijak dan bertepatan dengan keperluan industri semasa.
“Saya amat yakin bahawa tahun 2026 akan menjadi ‘Tahun Emas’ bagi penggiat kreatif Sabah. Komitmen yang ditunjukkan oleh kepimpinan Datuk Seri Hajiji wajar diberikan sokongan penuh bagi merealisasikan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang holistik dan inklusif,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SAFVA Ke-10.
Mengimbas kembali pertemuan dengan Datuk Nizam pada Ogos 2025, Chester menyatakan kekagumannya terhadap visi yang dikongsikan oleh menteri berkenaan. Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Datuk Mandela Malakun, selain wakil Institut Pembangunan Sabah (IDS), SCENIC dan Jabatan Teknologi dan Inovasi (JATIKS).
“Visi Datuk Nizam membuktikan beliau berupaya membawa seni kreatif Sabah ke tahap lebih jauh berbanding perjuangan kami dan penggiat terdahulu sejak 2015. Saya menyeru semua ahli dan penggiat seni agar bersabar serta memberi ruang kepada kementerian untuk merangka dasar ekonomi kreatif yang komprehensif mengikut acuan industri Sabah,” tambahnya.
Dalam majlis sama, Chester turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) atas pelantikan Mohd Lan Muslim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) yang baharu.
Beliau berkata, hasil kunjungan hormat SAFVA ke pejabat SCENIC Jumaat lalu, pihaknya optimis terhadap hala tuju kepimpinan Mohd Lan dalam memacu industri kreatif tempatan melalui integrasi teknologi, inovasi dan kreativiti berimpak tinggi.
Sementara itu, Setiausaha Agung SAFVA, Jade Morris, memaklumkan bahawa SAFVA kini merupakan ahli jawatankuasa pusat Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) yang mewakili Sabah. Menurutnya, pada tahun lalu SAFVA telah memperkukuh kedudukan organisasi itu menerusi penubuhan lapan zon utama di seluruh Sabah iaitu Kota Kinabalu, Kota Marudu, Ranau, Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Keningau dan Beaufort.
“Bagi tahun 2026, fokus utama SAFVA adalah latihan pembangunan modal insan serta memperkukuh kerjasama strategik bersama kementerian dan institusi seperti KBSK, KPSTI, SCENIC dan Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.
Beliau turut memaklumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama TV Sabah serta Surat Hasrat (LoI) bersama Persatuan Profesional Pasca-Produksi Malaysia (MyPOST) bagi pelaksanaan aktiviti bersama sepanjang tahun ini.

Terdahulu, majlis itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan kebajikan hasil kutipan derma penasihat dan ahli SAFVA berjumlah RM2,000 kepada Jerry Lunsin, ahli SAFVA dari Zon Kota Marudu yang terjejas akibat kebakaran rumah. Sumbangan disampaikan oleh Ketua Biro Kebajikan dan Rekreasi SAFVA, Johari Abdullah.
