Datuk Chan Tawar Aspirasi Pembangunan Seimbang Untuk Tanjung Aru

photo 2025 11 24 15 06 37

KOTA KINABALU: 24 November 2025 – Calon HARAPAN N.22 Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin, menegaskan komitmennya untuk membawa pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif kepada penduduk Tanjung Aru melalui beberapa inisiatif khusus yang menyentuh aspek pendidikan, infrastruktur, kebajikan sosial serta kemudahan digital.

Dengan pengalaman luas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Tanjong dari tahun 2013 hingga 2018, Ahli Parlimen Kota Kinabalu sejak 2018, serta memegang jawatan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi sejak 2023, beliau menyifatkan pemilihannya sebagai calon kerusi DUN Tanjung Aru sebagai satu peluang besar untuk memperkukuh pembangunan kawasan tersebut, agar tiada sesiapa lagi yang tercicir daripada arus pembangunan.

photo 2025 11 24 15 07 25

Beliau turut menegaskan bahawa gabungan peranannya sebagai Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri akan memberikan manfaat dua kali ganda kepada penduduk kerana lebih banyak dasar dan program dapat dilaksanakan secara terus dan menyeluruh.

Dalam komitmen terhadap pendidikan, Datuk Chan menjelaskan bahawa beliau memahami cabaran perjalanan yang dihadapi anak-anak Pulau Gaya untuk ke sekolah setiap hari.

photo 2025 11 24 15 06 42

Demi memastikan mereka dapat hadir ke sekolah dengan cepat, selamat dan tanpa beban kewangan, beliau menawarkan perkhidmatan tambang bot percuma bagi pelajar SK Pulau Gaya dan SMK Pulau Gaya sepanjang musim persekolahan. Keseluruhan kos operasi bot tersebut akan ditanggung sepenuhnya sebagai usaha untuk membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada anak-anak pulau berkenaan.

“Kita mahu anak-anak Pulau Gaya berjaya. Pendidikan merekalah yang akan mengubah masa depan keluarga dan komuniti di pulau itu,” katanya.

photo 2025 11 24 15 06 51

Selain pendidikan, isu kesesakan lalu lintas di Pantai Tanjung Aru turut menjadi perhatian utama. Pantai ikonik itu yang terkenal dengan pemandangan matahari terbenam ketiga tercantik di dunia kini berdepan tekanan trafik yang semakin serius, terutamanya jumlah pelawat asing meningkat secara mendadak ke Kota Kinabalu.

photo 2025 11 24 15 07 06

Datuk Chan menegaskan bahawa ekonomi pelancongan perlu terus dirancakkan, namun kebajikan penduduk tempatan tidak boleh diabaikan. Sehubungan itu, beliau akan bekerjasama rapat dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mewujudkan sebuah jalan pintas baharu bagi mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut.

Jalan baharu itu dijangka dapat mengurangkan kesulitan penduduk yang terpaksa menggunakan satu-satunya laluan sehala masuk dan keluar, serta pada masa yang sama memberi ruang kepada pembangunan pelancongan yang lebih lancar dan teratur.

photo 2025 11 24 15 07 12

Dalam aspek kebajikan sosial pula, Datuk Chan mahu memastikan golongan rentan seperti nelayan, pemandu e-hailing dan penghantar makanan terus dibela. Sejajar dengan kelulusan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 di Parlimen pada Ogos lalu, beliau mengambil langkah proaktif dengan menawarkan pendaftaran percuma sepenuhnya bagi pendaftaran kali pertama Skim LINDUNG Kendiri.

photo 2025 11 24 15 07 19

Langkah ini bertujuan memastikan pekerja gig di Tanjung Aru tidak tercicir daripada liputan perlindungan sosial asas yang diperlukan bagi menjamin keselamatan dan kebajikan mereka.

“Ini adalah janji saya: memastikan golongan rentan terus terbela, tidak terpinggir, dan sentiasa menjadi keutamaan dalam dasar yang saya perjuangkan,” tegasnya.

photo 2025 11 24 15 06 54

Selain itu, Datuk Chan turut memberi perhatian kepada rungutan ramai penduduk mengenai masalah internet yang perlahan dan tidak stabil di Tanjung Aru. Beliau mengakui bahawa isu ini turut dirasai sendiri olehnya apabila berada di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, beliau bertekad untuk memperjuangkan peningkatan capaian internet 5G yang lebih pantas dan stabil agar penduduk dapat menikmati kemudahan digital yang setara dengan kawasan lain, sekali gus menyokong produktiviti, pendidikan serta ekonomi tempatan.

photo 2025 11 24 15 07 01

Dengan gabungan kepakaran, pengalaman dan keazaman, Datuk Chan Foong Hin yakin bahawa aspirasi pembangunan seimbang yang ditawarkannya mampu membawa perubahan nyata kepada Tanjung Aru, seterusnya meningkatkan kualiti hidup penduduk serta merancakkan potensi ekonomi kawasan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal