KOTA KINABALU: 16 Mac 2026 — Dari dunia hiburan ke industri F&B, usahawan Sabah, Chrisboylondon Jamianus, melangkah ke industri wangian dengan melancarkan jenama miliknya, Chrisboylondon, sekali gus memperkenalkan koleksi sulung berinspirasikan perjalanan hidup dan pengalaman peribadinya.

Chrisboylondon Jamianus, yang dahulunya merupakan pengacara TV dan radio serta pengasas kepada jenama makanan tempatan Sabah, Little Sulap, kini melangkah ke bidang baharu melalui penghasilan wangian yang menampilkan identiti dan emosi sebagai teras utama.
Katanya, jenama itu dibina berasaskan falsafah “Presence Is Power”, yang melihat wangian bukan sekadar aroma, tetapi juga sebagai satu bentuk ekspresi diri yang mampu meninggalkan kesan dan kisah tersendiri untuk individu yang memakainya.
Koleksi sulung menampilkan empat wangian iaitu Midnight Jupiter, O’Lou Mistique, Beruin Auré dan Luzsty Paulina. Setiap wangian diinspirasikan oleh individu dan pengalaman bermakna, yang memberi pengaruh dalam perjalanan hidup pengasasnya.

Keempat-empat wangian tersebut membentuk bab pertama dalam pembangunan sebuah rumah wangian yang lahir dari inspirasi peribadi dan emosi, sekali gus mencerminkan visi kreatif di sebalik jenama berkenaan.
Dengan pelancaran koleksi pertama ini, Chrisboylondon menandakan kemunculan sebuah jenama wangian baharu dari Sabah yang membawa aspirasi ke pentas antarabangsa, dengan koleksi debutnya kini tersedia untuk pelanggan di seluruh dunia melalui laman web rasmi.

Beliau percaya asal-usul seseorang tidak seharusnya menjadi batas kepada sejauh mana sesuatu idea mampu berkembang.
“Saya sentiasa percaya bahawa dari mana kita berasal tidak sepatutnya mengehadkan sejauh mana idea kita boleh pergi. Chrisboylondon adalah cara saya menunjukkan bahawa sesuatu yang dibina di Sabah juga mampu sampai ke peringkat dunia,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi di Instagram dan TikTok menerusi @by.chrisboylondon serta melayari laman web rasmi di http://www.chrisboylondon.com.
