Tawau, 6 Julai 2025 – Cubaan menyeludup keluar bahan api menggunakan kapal nelayan akhirnya tumpas selepas dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam satu operasi rondaan di perairan Tawau awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi pada 5 Julai, sepasukan anggota PPM yang melakukan rondaan telah berjaya memintas sebuah kapal nelayan yang dilihat bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan berhampiran sempadan negara.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut membawa lapan tangki fiber yang mengandungi kira-kira 7,000 liter minyak diesel, dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran. Rampasan dianggarkan bernilai RM367,050.00.

Turut ditahan ialah juragan kapal, seorang lelaki warga tempatan berumur 54 tahun, yang dipercayai dalang utama dalam kegiatan penyeludupan terbabit.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan mengangkut bahan api tanpa permit sah.
PPM Wilayah 4 Sabah dalam kenyataan menegaskan komitmen mereka untuk terus mempertingkatkan penguatkuasaan dan rondaan maritim bagi membanteras sebarang bentuk jenayah rentas sempadan, khususnya kegiatan penyeludupan yang menggugat keselamatan dan ekonomi negara.
Sumber, Sabah Dimensi