KOTA KINABALU : 7 Januari 2026 – Operasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud ditamatkan hari ini selepas situasi cuaca dan paras air di kawasan terjejas kembali stabil.
Susulan penutupan itu, seramai 260 penduduk daripada 90 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing melibatkan beberapa kampung antaranya Kampung Suang Punggur, Kampung Suang Kina, Kampung Marajah dan Kampung Song-Song.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, proses penghantaran pulang mangsa dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta agensi keselamatan lain untuk memastikan pergerakan berjalan lancar dan selamat.
Bagaimanapun, beberapa pusat pemindahan di daerah Beaufort dan Tenom masih beroperasi dengan jumlah mangsa kekal setakat ini.
Antara PPS yang masih menempatkan mangsa ialah Dewan Slagon dan Dewan Residensi Prima Woodford Estate di Beaufort, selain Dewan Terbuka Labut 2, Rumah Kebudayaan Kampung Ponontomon, Rumah Kebudayaan Mandalom Lama, Rumah Kebudayaan Pantongan Saga serta Sekolah Kebangsaan (SK) Saga di Tenom.
Di Beaufort, PPS Masjid Darau Ikhlas Kampung Batandok Lubak masih menempatkan 37 individu dari 12 keluarga, manakala Dewan Sri Dayang Shahbandar Padas Damit menempatkan 11 orang dari lima keluarga. Sementara itu, seramai 44 mangsa kebakaran dari 12 keluarga masih berlindung di Dewan Sri Keramat, Putatan.
Sumber : The Borneo Post
