CBCM gesa hormati sensitiviti agama, tolak retorik perpecahan

Gambar Simon Poh CBCM

KUCHING:17 September 2026 – Konferensi Uskup-uskup Katolik Malaysia (CBCM) menyeru seluruh rakyat Malaysia memperkukuh sikap saling menghormati, menerima kepelbagaian dan membina persahabatan merentasi kaum dan agama dalam usaha memelihara keharmonian negara.

Presiden CBCM merangkap Uskup Agung Kuching, Uskup Dato Dr. Simon Poh, berkata perkara itu penting untuk memastikan Malaysia terus menjadi negara yang mengutamakan kehidupan bersama secara aman dan saling menghargai.

Dalam perutusan sempena Hari Malaysia ke-63 bertemakan “A Call for Mutual Respect, Acceptance, Friendship & Harmony”, beliau menyatakan kesedihan berhubung insiden membabitkan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, yang berkongsi jenaka berkaitan paderi dan biarawati dalam satu perhimpunan awam sebelum tular di media sosial.

Menurut Simon Poh, jenaka seumpama itu tidak wajar diketengahkan dalam mana-mana perhimpunan rasmi kerana boleh menyentuh sensitiviti keagamaan dan merendahkan golongan paderi dan biarawati yang dihormati masyarakat.

Beliau berkata sumbangan biarawati selama beberapa generasi melalui pengurusan hospital, institusi kebajikan dan sekolah telah memberi manfaat kepada rakyat daripada pelbagai kaum dan agama.

Gambar Simon Poh Bersama Aaron Aro
Dato Sri Aaron bersama para pemimpin gereja dan tempatan semasa penghormatan Perjalanan Salib

Simon Poh pada masa sama menekankan kepentingan pembinaan negara melalui semangat persahabatan, khususnya selepas Konvensyen Pastoral Malaysia di Sibu yang menghimpunkan kira-kira 1,000 delegasi Katolik dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Gambar Kepelbagaian Kaum Di MPC
Kepelbagaian kaum yang hadir semasa MPC di Sibu, Sarawak. Foto – Media Rasmi MPC2026

Katanya, konvensyen itu menghasilkan komitmen terhadap empat bidang utama, termasuk keluarga dan belia, alam sekitar, kebajikan dan pembinaan negara sebagai pembina jambatan dalam masyarakat.

Beliau menggesa rakyat menjaga tutur kata dan menolak prejudis, kebencian, stereotaip dan bahasa yang boleh memecahbelahkan masyarakat berdasarkan kaum, agama atau komuniti.

Simon Poh berharap Hari Malaysia menjadi ruang untuk rakyat mengukuhkan identiti bersama sebagai anak-anak Malaysia dan bergerak daripada permusuhan kepada kebaikan dan persahabatan yang tulus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal