KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 3,793,709 ketibaan pelancong sepanjang 2025 dengan jumlah penerimaan pelancongan mencecah RM8.74 bilion, sekali gus menandakan pemulihan kukuh sektor pelancongan negeri.
Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin, pencapaian itu melepasi sasaran awal 3.5 juta pelawat dan mencerminkan pemulihan kukuh industri pelancongan negeri, sekali gus meletakkan Sabah di landasan untuk mencapai sasaran baharu 4 juta ketibaan pada 2026.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan kepada pelancongan berkualiti dengan menambah baik hospitaliti, memperkukuh produk dan pengalaman pelawat, selain meningkatkan kesalinghubungan penerbangan dan perkhidmatan pelancongan sebagai persediaan menyokong Visit Malaysia 2026 dan Visit Sabah 2027.
Menurut data kementerian, pelawat domestik menyumbang 2.295 juta ketibaan, dipacu peningkatan perjalanan semasa musim perayaan Aidilfitri, pilihan raya negeri dan cuti persekolahan, bersamaan 84 peratus daripada paras pra-pandemik.
Ketibaan antarabangsa pula mencatat 1,498,709 pelawat, iaitu dua peratus melebihi tahap pra-pandemik walaupun kapasiti penerbangan global masih belum pulih sepenuhnya.
Pasaran luar negara yang menunjukkan pertumbuhan ketara termasuk China, diikuti Singapura, United Kingdom, Ireland, Taiwan, Australia dan Jepun.
Sehingga Januari 2026, Sabah dihubungkan dengan 15 destinasi antarabangsa melalui 157 penerbangan mingguan yang menawarkan hampir 29,000 tempat duduk, selain 13 destinasi domestik di seluruh negara.
Selain itu, sektor pelancongan kapal persiaran turut berkembang dengan ketibaan 23 kapal membawa 24,634 penumpang yang berlabuh di Pelabuhan Kota Kinabalu dan Sandakan sepanjang tahun lalu.
