Calon Bebas Fail Semakan Kehakiman Cabar Keputusan PRU Karanaan

photo 6232989409523470361 y

KOTA KINABALU: 27 Disember 2025 – Calon bebas, Naomi @ Neomi Francis, telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah 2025 melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.37 Karanaan.

Permohonan itu difailkan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, susulan pengisytiharan SPR yang menamakan Masidi sebagai pemenang kerusi berkenaan.

Naomi memohon kebenaran mahkamah untuk membatalkan keputusan tersebut serta mengarahkan satu pilihan raya semula diadakan bagi kerusi Karanaan, dengan mendakwa proses pilihan raya dicemari oleh amalan rasuah dan salah laku pilihan raya.

Dalam dokumen mahkamah, beliau mendakwa berlakunya kegiatan beli undi termasuk pemberian wang tunai kepada pengundi sepanjang tempoh kempen, yang didakwa bertujuan mempengaruhi undian.

Naomi turut mendakwa terdapat kegagalan mematuhi prosedur pilihan raya yang sepatutnya dilaksanakan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Sebagai sokongan kepada permohonannya, Naomi mengemukakan afidavit bersumpah, laporan polis serta bukti bergambar dan kenyataan saksi yang didakwa menunjukkan berlakunya sogokan dan penyalahgunaan kuasa.

Permohonan semakan kehakiman itu telah ditetapkan untuk pendengaran pada 4 Februari 2026 di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Alexander Siew How Wai.

Kes berkenaan kini masih di peringkat permohonan kebenaran dan belum diputuskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal