Buvazoi Tavantang Kaamatan 2025 Sandakan, Jecksonlius Parulin Jayakan Manifesto Kelestarian Pokok Ara

SANDAKAN: 3 Oktober 2025 – Jecksonlius Parulin, 27 tahun, yang mewakili daerah Sandakan sebagai Buvazoi Tavantang Kaamatan (BTK) 2025, berjaya melaksanakan manifestonya bertajuk “Program Kelestarian Hijau: Ekologi dan Kepentingan Silvikultur Pokok Ara” pada 2 Oktober 2025.

Walaupun tidak tersenarai dalam kelompok 15 terbaik di peringkat negeri, Jecksonlius yang juga pembantu awam di Pusat Penyelidikan Perhutanan Sabah tetap ingin membuktikan komitmennya untuk merealisasikan manifesto yang telah disampaikan dalam pertandingan berkenaan.

Program sehari tersebut diadakan di Pusat Penyelidikan Perhutanan Sabah, Sandakan, dan berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta daripada pelbagai agensi termasuk Sawit Kinabalu, One Stop Borneo, kakitangan RDC, kakitangan FRC, juara MRK 2022, dan juara MRK 2024.

Jecksonlius bersama sebahagian peserta program. Foto : Jecksonlius

Menurut Jecksonlius, objektif utama program ini adalah untuk menekankan peranan pokok ara sebagai “keystone species” dalam ekosistem hutan tropika, di samping meningkatkan pemahaman mengenai amalan silvikultur dari aspek pembiakan, penanaman, dan pengurusan nurseri.

Selain memberi kesedaran ekologi, manifesto berkenaan turut memperkukuh hubungan sosial melalui perkongsian ilmu antara agensi kerajaan, NGO, dan masyarakat setempat.

“Program ini bukan sahaja berfokus pada biodiversiti, tetapi juga pada kekuatan kolaborasi sosial,” katanya.

Apabila ditanya mengenai penyertaan dalam BTK edisi 2026, Jecksonlius hanya berseloroh, “Mungkin tidak, mungkin ya!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal