KOTA KINABALU: 4 November 2025 – STAR memberi maklum balas kepada kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican yang menekankan bahawa Kerajaan Persekutuan terikat secara perlembagaan untuk membiayai peruntukan-peruntukan yang beliau sebutkan. Ia bukan sebagai suatu tindakan kemurahan hati, tetapi sebagai suatu kewajipan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan Persekutuan terikat di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk membayar item-item yang beliau sebutkan. Kerajaan Persekutuan terikat untuk menanggung perbelanjaan yang dinyatakan di bawah Jadual ke-9, Perkara 74 & 77, Senarai 1, di bawah Senarai Persekutuan. Kerajaan Persekutuan terikat di bawah Item 6(c) untuk membayar perbelanjaan kementerian dan agensi persekutuan di Sabah. Ini juga termasuk Item 10(a) Jalan Persekutuan – Lebuhraya Pan Borneo. Talian Penghantaran Selatan mengikut undang-undang adalah di bawah Item 11(c) Senarai Persekutuan – Elektrik dan kerja-kerja lain untuk pengeluaran dan pengedaran kuasa dan tenaga. Pendidikan adalah di bawah Item 13 dan Pusat Jantung Sabah adalah di bawah Kesihatan di bawah Item 14 Senarai Persekutuan,” jelasnya.
Ketua Penerangan STAR, Anuar Ghani berkata, peruntukan persekutuan untuk Sabah telah meningkat dari RM13 Bilion pada tahun 2022, ke RM14 Bilion pada tahun 2023 dan 2024, dan kini RM17 Bilion untuk tahun 2025 dan 2026. Daripada RM17 Bilion itu, RM9 Bilion adalah untuk kementerian dan agensi persekutuan, RM1 Bilion adalah dalam bentuk pemindahan langsung kepada kerajaan negeri Sabah, Geran Khas RM600 Juta yang berasingan yang baru-baru ini diumumkan oleh Perdana Menteri, RM6.9 Bilion untuk peruntukan pembangunan untuk membiayai projek yang menjadi keutamaan negeri termasuk Pusat Jantung Sabah dan Talian Penghantaran Selatan (Southern Link Transmission Line).
Anuar berkata, RM1.3 Bilion yang dianggap sebagai bantuan tunai langsung yang disalurkan kepada 840,000 penerima di bawah skim Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) adalah sebahagian daripada geran kapita yang perlu dibayar kepada Sabah di bawah Jadual ke-10, Perkara 109, 112(c), 161c(3), di bawah “Geran dan Sumber Hasil yang Diuntukkan kepada Negeri-negeri”.
Menurutnya lagi, berkenaan dengan Cukai Jualan Negeri sebagai hasil tambahan sebanyak RM2 Bilion sejak 2022, Sabah berhak mendapat duti import dan duti eksais ke atas produk petroleum di bawah Item (1) dan (7) Bahagian V Jadual Kesepuluh di bawah “Sumber Tambahan dan Hasil yang Diuntukkan kepada negeri-negeri Sabah dan Sarawak”. Dalam erti kata lain, Cukai Jualan ke atas petroleum ini adalah hak negeri.
“Berkenaan dengan rundingan untuk “formula baharu”, kami ingin menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi menerima pakai formula yang dikemukakan oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) secara keseluruhannya. Jadi formula baharu apakah yang Ketua Setiausaha Perbendaharaan bicarakan? Hanya gunakan formula itu. Sangat mudah,” tegasnya.
Anuar menekankan lagi, bahawa Kerajaan Persekutuan kelihatan berdegil dengan tidak menghormati keputusan Mahkamah Tinggi pada 17/10/2025 dan terus menerus menyalahmaklumkan rakyat mengenai pembayaran dan perbelanjaan mereka dengan mengatakan ia melebihi hak Sabah.
“Kerajaan Persekutuan gagal, mengabaikan, dan enggan memberikan kerajaan Sabah maklumat mengenai jumlah hasil yang telah dikutip walaupun setelah 13 permintaan. Ia seperti mendapatkan air dari batu. Mereka mendakwa hak kami sebagai “wang kesian”. Pembayaran ini perlu dibayar dari 60% yang telah dikutip oleh Kerajaan Persekutuan.
“Hak 40% adalah berasingan daripada peruntukan yang Kerajaan Persekutuan wajib bayar di bawah Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan ini adalah berasingan dari hak Sabah untuk 40% yang masih belum dibayar termasuk “tahun-tahun yang hilang” selama 48 tahun. RM600 Juta hanyalah “gula-gula” yang berjumlah kurang daripada 5% daripada entitlement kami yang sewajarnya.
“Sekali lagi, mereka menafikan “Keadilan untuk Sabah”. Rakyat Sabah semakin muak dengan Kerajaan Persekutuan dan rasa tidak puas hati mereka akan dizahirkan melalui peti undi,” tegasnya.

