KOTA KINABALU: 21 September 2025 – Barisan Nasional (BN) Sabah melancarkan Skuad Sukarelawan BN yang akan digerakkan di 25 kawasan Parlimen seluruh negeri bagi membantu mangsa bencana alam secara lebih sistematik dan menyeluruh.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun pelancaran rasmi baharu dilaksanakan pada 20 September, skuad berkenaan sebenarnya sudah mula beroperasi sejak tiga hari lalu dengan menyertai kerja pembersihan pascabanjir di beberapa kawasan terjejas.
Menurut beliau, pada peringkat awal hanya empat lori tangki digunakan, namun jumlah itu terpaksa ditambah kepada lapan hingga sembilan buah untuk mempercepatkan proses pembersihan di lapangan. BN turut menyediakan peralatan tambahan termasuk mesin penembak air untuk kegunaan sukarelawan.
Skuad berkenaan akan berdaftar secara rasmi serta digerakkan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memastikan bantuan lebih teratur.
Dana operasi pula tidak ditetapkan jumlah tertentu, sebaliknya bergantung kepada tahap keperluan di lapangan dengan sokongan tambahan daripada syarikat korporat serta parti.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, penubuhan skuad ini bukan untuk menggantikan peranan agensi sedia ada seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, sebaliknya berfungsi sebagai pasukan sokongan yang memberi fokus khusus kepada komuniti setempat.
Beliau turut menekankan komitmen BN Sabah untuk terus berada di barisan hadapan dalam membantu rakyat ketika berdepan bencana, sekali gus memperkukuh jaringan khidmat masyarakat parti di peringkat akar umbi.
Sumber: Sabah News Today