TELUPID: 27 November 2025 – Calon Barisan Nasional (BN) bagi DU N.47 Telupid, Benedict Asmat, membawakan rangka aspirasi pembangunan yang memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan asas, pengukuhan ekonomi tempatan dan kesejahteraan masyarakat.
Antara fokus utama ialah usaha meningkatkan keupayaan bekalan elektrik dan air bersih di seluruh daerah. Benedict menekankan keperluan kerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk mengurangkan gangguan utiliti serta memastikan setiap kampung menerima bekalan yang stabil dan terpimpin. Inisiatif pembinaan dan penambahbaikan rangkaian komunikasi serta jalan raya turut digerakkan bagi memperkukuh sambungan antara kampung dan membuka ruang pembangunan baharu.
Beliau turut memberi perhatian kepada isu tanah, termasuk pengurusan dan pengeluaran geran bagi penduduk yang menduduki tanah kampung serta kawasan yang melibatkan tanah simpanan jabatan. Aspirasi ini dilihat kritikal dalam memberi kepastian hak milik, sekali gus memudahkan masyarakat merancang pembangunan keluarga dan ekonomi setempat.
Dalam memperkasa belia dan masyarakat, Benedict menggariskan rancangan memperkukuh sektor sukan termasuk mempercepat pembinaan Kompleks Sukan Daerah Telupid serta menaik taraf fasiliti asas agar menjadi pusat perkembangan atlet muda. Usaha ini dijangka membuka lebih banyak peluang untuk pembangunan bakat dan aktiviti sihat dalam kalangan generasi muda.
Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada peningkatan akses pendidikan dan kesihatan, termasuk cadangan mewujudkan program tabung pendidikan daerah serta menaik taraf Klinik Kesihatan Telupid ke taraf hospital. Langkah-langkah ini dianggap penting dalam memastikan masyarakat mendapat kemudahan yang lebih menyeluruh tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada daerah lain.
Melalui aspirasi yang digarap, Benedict menekankan bahawa semua agenda pembangunan hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat antara pemimpin dan komuniti. Pendekatan ini, menurutnya, adalah asas untuk membawa Telupid melangkah ke hadapan secara bersama dan berdaya saing.
