BN, Bersatu Sabah mesti sertai GRS secara rasmi
KOTA KINABALU: Barisan Nasional dan Bersatu Sabah mesti membuat keputusan dengan mengisytiharkan parti mereka sebagai salah satu ahli dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Timbalan Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Ini katanya akan membuktikan yang mereka berjuang bersama-sama rakyat Sabah yang melihat pilihan raya umum ke-15 kali ini sebagai peluang keemasan untuk memperjuangkan hak Sabah dalam kerajaan persekutuan.
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, mereka mesti membuat pendirian sejajar dengan sentimen yang semakin meningkat di kalangan majoriti rakyat Sabah yang mahu parti berasaskan Malaya keluar daripada negeri itu.
“GRS adalah parti tempatan Sabah dan Bersatu adalah ahli. Justeru, ia menjadikan parti itu parti tempatan sepenuhnya di bawah gabungan itu,” katanya dan mencadangkan supaya BN Sabah melakukan perkara yang sama.
Lagipun katanya, pemimpin GRS berdiri atas dasar persamaan dalam memperjuangkan hak Sabah dan rakyat Sabah yang mewajarkan keperluan BN Sabah dan Bersatu bertanding pada PRU15 di bawah satu parti iaitu GRS.
Kitingan yang juga Presiden Parti Solidariti Tanahairku (SabahStar), berkata beliau bersama-sama dengan sentimen rakyat yang menuntut perubahan. Beliau mengulangi bahawa Sabah telah mewarisi situasi politik yang membawa kepada penggabungan parti-parti tempatan dan Malaya dalam kerajaan. Namun, beliau percaya keadaan ini boleh diubah melalui GRS, yang merupakan parti politik Sabah yang berdaftar.
“GRS mengawal kerajaan Sabah, bukan Kuala Lumpur,” katanya memberi peringatan.
Sebagai alternatif, Kitingan mengulangi saranannya untuk meneruskan pertandingan persahabatan di beberapa kerusi parlimen bagi membolehkan rakyat memilih parti mana yang mereka mahu. “Parti itu boleh menggunakan simbol mereka sendiri, bukan sebagai BN atau GRS,” katanya.
Kitingan yang daripada dahulu lagi tegas dan konsisten dalam perjuangan politiknya untuk rakyat Sabah, menegaskan bahawa rakyat dan negeri ini akan terus berjuang untuk kemakmuran mengikut aspirasi mereka sendiri dan enggan terus “ditarik-tarik seperti kerbau” oleh kuasa yang ada sekarang.
Beliau mengingatkan pertandingan PRU15 di Sabah bukan sekadar sentimen politik tetapi ia juga adalah mengenai survival, keselamatan dan kebajikan rakyat Sabah ketika ini.
“Jadi, marilah kita sama-sama berjuang untuk Sabah dan Sabah di bawah GRS,” katanya.
0 Comments