Bekalan air bersih hak asas yang wajar dinikmati olah semua – Ellron

Share the news

KENINGAU: 12 June 2025 – Pelaksanaan sistem bekalan air merupakan langkah konkrit menjamin hak asas akses air bersih yang sewajarnya dinikmati oleh semua, tidak kira di mana mereka berada. Penekanan ini dibuat berikutan impak besar gangguan atau kekurangan bekalan air terhadap pelbagai aspek kehidupan, khususnya kelancaran operasi sekolah dan kesejahteraan masyarakat.

Masalah gangguan atau kekurangan bekalan air bukanlah isu remeh. Ia memberi kesan besar kepada kelancaran operasi sekolah – dari kebersihan tandas, keselamatan makanan di kantin, sehinggalah kesihatan dan keselesaan pelajar serta para guru.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin berkata demikian dalam ucapannya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Pemasangan Sistem Bekalan Air Sekolah Menengah Kebangsaan Dalit, dan Program Mansau Ansau Pensiangan Bersama RTM Sabah, kelmarin.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan projek itu khususnya Pejabat Daerah Sook, Pejabat Pendidikan, Jabatan Tanah dan Ukur Keningau, pihak kontraktor pelaksana, serta agensi-agensi kerajaan yang telah memberi kerjasama yang amat baik.

“Projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga SMK Dalit, malah turut memberi impak kepada kampung-kampung sekitarnya. Kita yakin usaha ini akan meningkatkan tahap kesihatan, kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat luar bandar secara menyeluruh,” katanya.

Menurutnya lagi, projek tersebut dilaksanakan secara berfasa iaitu fasa pertama akan membekalkan air ke sekolah dan kampung berdekatan, manakala fasa kedua akan menyusul ke kampung-kampung lain yang turut memerlukan air bersih.

Datuk Ellron, yang juga wakil rakyat N.45 Sook, menjelaskan bahawa beliau telah berusaha sejak beberapa tahun lalu untuk meningkatkan akses kepada air bersih di Mukim Dalit dan Mukim Ansip, termasuk Kampung Mempulut, Kampung Membulu, Kampung Kuala Puntih dan Kampung Tigasa. Usaha ini termasuk mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak Jabatan Air Keningau.

Beliau turut berharap agar permohonan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang berkaitan dengan usaha ini dapat diluluskan segera demi kesejahteraan masyarakat di kawasan tersebut.

Elron komited memperjuangkan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, jalan raya yang baik, serta kemudahan pendidikan dan kesihatan.

“Ini tanggungjawab kita bersama untuk memastikan semua rakyat tanpa mengira latar belakang, mendapat akses kepada kehiduapn yang lebih berkualiti,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas keprihatian dan sokongan berterusan terhadap pelaksanaan projek itu, sebagai iltizam kerajaan dalam memastikan pembangunan yang saksama dan menyeluruh.

Beliau menyeru seluruh warga sekolah, para guru, pelajar dan masyarakat setempat menghargai dan menjaga kemudahan dengan penuh tanggungjawab agar ia memberi manfaat yang berpanjangan.

Turut hadir, wakil Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Mohd Royhaisham Abd Fattah; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Keningau, Zainal Manaf; Wakil Penolong Pemungut Hasil Tanah Daerah Keningau, Max Javier Bernard; Ketua Balai Sook, SM Sius Sutin; dan, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.45 Sook, Tony Talasoi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal