Bayi Ditinggalkan Di Hadapan Rumah Di Pulau Gaya, Siasatan Dijalankan

KOTA KINABALU, 25 April 2025 – Suasana pagi di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya dikejutkan dengan penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah penduduk kampung.

Menurut maklumat yang diterima pihak polis, kejadian itu dilaporkan sekitar jam 6.00 pagi oleh Ketua Kampung Lok Urai yang dimaklumkan oleh seorang penduduk tempatan. Sebaik menerima laporan, sepasukan anggota dari Balai Polis Pulau Gaya segera digerakkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan awal.

Hasil siasatan mendapati bayi tersebut ditemui sekitar jam 5.30 pagi oleh seorang lelaki tempatan yang ternampak sebuah beg berwarna hijau diletakkan di hadapan tangga rumahnya. Apabila diperiksa, beliau mendapati beg itu mengandungi seorang bayi lelaki yang dibaluti kain batik.

Penduduk berkenaan kemudian membawa bayi tersebut ke beranda rumah sebelum menghubungi Ketua Kampung bagi mendapatkan bantuan selanjutnya.

Pihak polis kini menyiasat kes ini di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan meninggalkan bayi dengan niat untuk menyembunyikan kelahirannya. Jika disabitkan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim bin Muda, merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung yang bertindak pantas melaporkan insiden tersebut. Beliau turut menegaskan bahawa tindakan membuang bayi bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga mencerminkan ketiadaan nilai kemanusiaan.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini agar tampil membantu siasatan demi memastikan keadilan bagi bayi tersebut dan keselamatan komuniti terpelihara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal