KOTA KINABALU : 4 Oktober 2025 – AVETA Malaysia memperkukuh kehadirannya di Malaysia Timur dengan pelancaran pusat flagship pertamanya, AVETA Elite Centre, di Kepayan Pintas Square, Kota Kinabalu yang disempurnakan oleh Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau.
Langkah ini menandakan usaha AVETA untuk muncul sebagai jenama motosikal nombor satu di Sabah dengan menawarkan penyelesaian mobiliti yang inovatif dan berfokuskan pelanggan.
Menurut Pengarah Smart Bike Sdn. Bhd., Jordan Chang, Sabah merupakan pasaran terbesar AVETA dengan komuniti penunggang yang setia dan bersemangat tinggi.

Katanya, pembukaan pusat itu bukan sekadar bilik pameran, tetapi ruang untuk pelanggan menikmati pengalaman menyeluruh termasuk kemudahan premium, khidmat selepas jualan dan model eksklusif yang hanya terdapat di sini.
Pusat seluas 2,500 kaki persegi itu menampilkan ruang rehat pelanggan, bilik hiburan, sudut pameran motosikal, barangan rasmi AVETA dan turut menyediakan perkhidmatan selepas jualan lengkap meliputi penyelenggaraan, alat ganti serta akses kepada model edisi khas.
Majlis pelancaran turut memperkenalkan buat pertama kalinya di Malaysia model Ranger Max Explorer Special Edition berwarna hijau neon.
Sebagai tanda penghargaan, seramai 31 pengunjung bertuah membawa pulang hadiah cabutan bertuah berupa baju-T dan topi keledar AVETA, selain menikmati diskaun 20 peratus untuk barangan menunggang dan topi keledar pada hari tersebut.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan AVETA Malaysia, Steven Lim, berkata pelancaran di Kota Kinabalu menjadi simbol komitmen syarikat untuk terus memperluas rangkaian dan meningkatkan mutu perkhidmatan di seluruh negara, khususnya di Malaysia Timur.

Sejak ditubuhkan pada 2015, Smart Bike Sdn. Bhd. telah berkembang menjadi antara pengedar motosikal paling dipercayai di Sabah dan pernah menerima lima kali Aeon Top Sales Merchant Award, dua kali Aeon Marvellous Merchant Award serta mencatat jualan tertinggi sebanyak RM39.5 juta pada 2024 dengan lebih 3,000 motosikal terjual dalam setahun.
Pelancaran AVETA Elite Centre ini menandakan permulaan fasa baharu perjalanan AVETA dalam memperkukuh inovasi dan kecemerlangan.
Syarikat itu merancang memperluas rangkaian Elite Centre di seluruh negara bagi meningkatkan sokongan tempatan, memperkukuh perkhidmatan selepas jualan dan memberi keyakinan kepada pelanggan melalui jenama yang komited mendengar keperluan mereka.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan AVETA Malaysia, Steven Lim, Pengurus Besar Jualan Kanan, Encik Hon, serta pengurusan kanan Smart Bike Sdn. Bhd. yang diketuai Pengarah Urusan, Joe Hung, Pengarah, Jordan Chang, dan Pengurus Jualan Kanan, Mohd. Din.