KOTA KINABALU : 7 Februari 2026 — Muhammad Asnawi Iqbal bin Adam cipta sejarah tersendiri ketika dinobatkan sebagai Olahragawan Lelaki Negeri Sabah 2023–2024, hasil pencapaian cemerlangnya dalam sukan pelayaran di peringkat antarabangsa.
Atlet berusia 20 tahun, turun ke laut sejak umur 6 tahun, Asnawi akui tidak pernah menyangka akan menerima anugerah tertinggi sukan negeri.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Saya memang tak sangka boleh dapat anugerah ini. Tapi alhamdulillah, ini rezeki saya pada tahun 2023 dan 2024,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah.
Nama Asnawi semakin dikenali selepas menjadi penyumbang pingat pertama Malaysia pada temasya sukan tersebut.
“Pencapaian terbesar saya ialah Asian Games Hangzhou. Saya dapat pingat gangsa dan itu pingat pertama saya sumbang untuk Malaysia di Hangzhou, China,” katanya.
Anak jati Inanam itu berkata, minat terhadap sukan pelayaran bermula sejak kecil apabila sering mengikut bapanya yang aktif dalam sukan berkenaan, sebelum menjadikannya sebagai kerjaya sukan secara serius.
“Saya masuk sukan ini sebab bapa saya ajak. Saya rasa sukan ini best, jadi saya teruskan latihan dengan semangat untuk pergi lebih jauh,” jelasnya.
Mengimbas perjalanan kariernya, Asnawi mengakui laluan menuju kejayaan tidak mudah dan dipenuhi cabaran, termasuk saat-saat hampir berputus asa.
“Cabaran terbesar saya, saya banyak kali hampir jatuh, tapi saya tetap teruskan usaha sampai ke tahap ini,” katanya.

Sebelum dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Sabah, Asnawi pernah menerima Anugerah Olahragawan Harapan pada 2021 dan 2022, sebelum melonjak ke tahap lebih tinggi dengan kejayaan berganda bagi tahun 2023 dan 2024.
Mengulas rahsia kejayaannya, Asnawi menegaskan kepentingan disiplin dan ketahanan mental dalam latihan.
“Rahsia saya adalah jangan pernah give up dan teruskan semangat latihan,” katanya.
Dari segi akademik, Asnawi memaklumkan beliau pernah bersekolah di SMK St. Stephen sebelum berpindah ke Langkawi untuk menyertai Majlis Sukan Negara, bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan karier sebagai atlet pelayaran.
“Saya pindah ke Langkawi dan menetap di sana untuk latihan bersama Majlis Sukan Negara,” katanya.
Menatap masa depan, Asnawi meletakkan sasaran tertinggi dalam karier sukannya.
“Sasaran seterusnya, saya mahu mewakili Malaysia di Sukan Olimpik,” katanya.
