Arddley Nicholas Lancarkan Single Terbaharu “Sandiwara Cinta”

photo 2026 01 03 23 03 56

KOTA KINABALU: 3 Januari 2026 — Selepas sekian lama menyepi daripada dunia seni suara, penyanyi Arddley Nicholas akhirnya tampil dengan karya terbaharu berjudul Sandiwara Cinta. Single ini menandakan kemunculan semula beliau dalam industri nyanyian tanah air.

Menurut Arddley, Sandiwara Cinta dipilih sebagai titik permulaan kemunculan semula beliau kerana melodi dan emosi lagu tersebut begitu dekat dengan jiwanya. Sejak kali pertama mendengar lagu ini, beliau merasakan karya tersebut benar-benar serasi dengan karakter vokal dan perasaan yang ingin disampaikan.

Single ini turut istimewa kerana merupakan hasil ciptaan sepenuhnya Maestro dan pemain piano jazz terkemuka Malaysia, Datuk Mokhzani Ismail. Kerjasama ini dianggap satu penghormatan besar buat Arddley, memandangkan Datuk Mokhzani Ismail merupakan figura penting yang telah banyak menyumbang kepada landskap muzik Malaysia.

Proses penghasilan lagu ini berlangsung dalam suasana yang tenang dan tidak membebankan. Pengalaman bekerjasama dengan Datuk Mokhzani Ismail membuka perspektif baharu buat Arddley, khususnya mengenai konsep “menerima ketidaksempurnaan” (embracing imperfections), di mana ketidaksempurnaan dilihat sebagai elemen yang memanusiakan sesebuah karya. Pendekatan ini menjadikan Sandiwara Cinta lebih jujur, ikhlas, dan tulen dari segi emosi.

photo 2026 01 03 23 03 51

Arddley berharap single ini dapat diterima dengan baik oleh pendengar serta mampu menyentuh hati mereka, seperti mana lagu ini memberi kesan mendalam kepadanya sejak awal proses penghasilannya.

Single ini juga merupakan permulaan baharu dalam perjalanan seni Arddley Nicholas, yang kini kembali melangkah dengan semangat dan hala tuju lebih matang dalam industri muzik Malaysia.

Sandiwara Cinta menampilkan Arddley Nicholas sebagai penyanyi, Datuk Mokhzani Ismail sebagai pencipta lagu, dan pengedaran muzik dikendalikan oleh Kelarai Sakti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal