APM Sabah Tempat Ketiga Di SUPAM 2025

Gambar APM Sabah Tempat Ketiga

PULAU PINANG: 14 September 2025 – Kontinjen Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah menutup tirai Kejohanan Sukan Pertahanan Awam Malaysia (SUPAM) 2025 dengan pencapaian membanggakan apabila muncul tempat ketiga menerusi kutipan tiga pingat emas, tiga perak dan 101 mata keseluruhan.

Di bawah pimpinan Ketua Kontinjen, Lt. Kol. (PA) Erwin @ Elverowen Kinsui, Sabah yang diwakili 35 atlet menunjukkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan dengan kejayaan mengungguli acara Boat Race, Bola Tampar, dan Balapan 400 meter wanita yang menghadiahkan emas. Pingat perak pula diraih menerusi acara Balapan 800 meter campuran, Balapan 2×200 meter, dan Bola Sepak.

Kejohanan yang berlangsung dari 8 hingga 11 September di Kompleks Sukan dan Rekreasi MBSP, Pulau Pinang itu menghimpunkan lebih 1,400 peserta daripada 17 kontinjen negeri. Majlis penutupan penuh gilang-gemilang disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen, dengan penyampaian pingat kepada para pemenang oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk KPj. (PA) Aminurrahim Mohamed.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM, TPj. Bersekutu (PA) Dato’ Ismail Mohd Zawawi bersama barisan kepimpinan tertinggi, termasuk pengarah APM negeri, pegawai kanan dan warga APM dari seluruh negara, sekali gus memperlihatkan sokongan padu terhadap kejohanan berprestij ini.

Pencapaian cemerlang kontinjen Sabah ini bukan sahaja hasil latihan rapi dan disiplin tinggi, malah menjadi bukti semangat berpasukan yang kuat dalam kalangan atlet.

Kejayaan mereka menegaskan kemampuan APM Sabah untuk bersaing di pentas nasional sambil mengangkat martabat negeri di bawah bayu.

Dengan berakhirnya SUPAM 2025, perhatian kini beralih ke edisi akan datang pada 2027, apabila Negeri Melaka diumumkan sebagai tuan rumah bagi Latihan Bersepadu Kemahiran Pertahanan Awam dan SUPAM seterusnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal