KOTA KINABALU: 15 Mac 2026 – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan Persekutuan untuk menghormati hak Sabah menerima 40 peratus hasil seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau berkata, kerajaan tidak mempertikaikan komitmen tersebut dan ia telah diputuskan sebagai dasar kerajaan dan dibincangkan dalam Jemaah Menteri dan Parlimen.
Menurutnya, rayuan yang difailkan di mahkamah bukan bertujuan menolak tuntutan 40 peratus itu, sebaliknya bagi memperjelaskan beberapa perkara dalam penghakiman yang menyentuh peranan pemimpin terdahulu di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Sebagai kerajaan, kita sudah beri jaminan yang jelas bahawa komitmen terhadap 40 peratus kepada rakyat Sabah tetap dihormati,” katanya ketika berucap pada satu majlis berbuka puasa di kompleks dewan kuliah pusat Universiti Malaysia Sabah hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan kini memberi tumpuan menilai keberkesanan pembangunan di peringkat daerah bagi memastikan manfaatnya benar-benar dirasai rakyat hingga ke akar umbi.

Beliau menjelaskan, walaupun prestasi ekonomi negara menunjukkan pertumbuhan baik dengan kawalan inflasi dan peningkatan pelaburan asing, keutamaan kerajaan adalah memastikan peningkatan ekonomi itu turut meningkatkan pendapatan rakyat dan memperbaiki kemudahan asas.
Katanya, perhatian juga perlu diberikan kepada sektor ekonomi kecil seperti gerai, warung dan restoran kecil yang menjadi tumpuan majoriti rakyat.
“Sekitar 85 peratus rakyat menggunakan gerai dan warung kecil, jadi kemudahan dan infrastruktur mereka perlu diberi perhatian agar lebih selesa dan bersih,” katanya.
Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan akan menyalurkan peruntukan bagi menaik taraf beberapa institusi tahfiz dan pondok di Sabah termasuk dengan memperkenalkan kemudahan infrastruktur, pendidikan digital dan kecerdasan buatan (AI).
Sebanyak lima institusi dipilih pada peringkat awal dengan peruntukan keseluruhan sekitar RM55 juta.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan turut menanggung subsidi besar bagi memastikan kestabilan harga bahan api termasuk subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak yang meningkat susulan kenaikan harga minyak dunia.
Mengulas situasi antarabangsa, Anwar menegaskan pendirian Malaysia yang mengutuk serangan Israel terhadap Iran dan menyokong kedaulatan negara itu.
Beliau pada masa sama menyeru rakyat Malaysia terus memelihara keamanan dan perpaduan negara walaupun berbeza agama dan kaum.
