Abdul Rahman terima kekalahan dengan hati terbuka
Mohd Syukrie Johary
KOTA BELUD: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang tidak memihak kepadanya dengan hati terbuka.
Beliau berkata, pengundi parlimen Kota Belud sudah bersuara dan menghormati keputusan mereka dalam semangat demokrasi.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Isnaraissah Munirah Majilis kerana kejayaannya mempertahankan kerusi Kota Belud. Saya doakan beliau akan menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang demi masa depan penduduk Kota Belud.
“Saya juga ucapkan terima kasih kepada jentera dan kepimpinan BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana bekerja kuat sepanjang tempoh kempen. Saya harap kekalahan ini tidak mematahkan semangat anda semua.
“Perbaikilah segala kelemahan dan rapatkan barisan,” katanya di sini.
Abdul Rahman tewas kepada Munirah dengan kelebihan 4,582 undi. Beliau memperoleh 20,566 undi berbanding Munirah 25,148 undi. Calon Pakatan Harapan (PH), Madeli @ Modily Bangali pula mendapat 8,323 undi.
Abdul Rahman tidak mahu keputusan pilihan raya itu akan mewujudkan permusuhan dalaman yang akan merugikan parti.
“Kekalahan ini, walaupun pahit, tidak bermakna BN tidak boleh bangkit kembali di Kota Belud pada masa hadapan,” katanya sambil berterima kasih dan menghargai mereka yang mengundi BN dan GRS.
– Tv Sabah News
0 Comments