KOTA KINABALU: 12 Oktober 2025 – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menafikan dakwaan wujudnya pergolakan dalaman dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita baru-baru ini.
Ketua AMK Sabah, Zaidi bin Jatil, berkata laporan bertajuk “Isu Calon Payung Terjun Buat PKR Sabah di Ambang Gelora” disifatkan tidak tepat dan tidak menggambarkan situasi sebenar dalam parti.
Menurutnya, pertemuan antara pimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah bersama Ketua-Ketua Cabang baru-baru ini berjalan dalam suasana harmoni dan penuh semangat kekeluargaan serta persahabatan parti.
AMK menegaskan bahawa KEADILAN Sabah kekal stabil dan fokus terhadap persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Pertemuan itu turut menjadi wadah sihat untuk mendengar pandangan akar umbi bagi memperkukuh koordinasi antara cabang serta kepimpinan negeri.
Selain itu, AMK menekankan bahawa pandangan Ketua-Ketua Cabang dan pimpinan negeri sentiasa dihormati serta diambil kira dalam penentuan calon, sejajar dengan prinsip KEADILAN yang mengutamakan musyawarah dan kebersamaan.
Zaidi turut menyatakan keyakinan bahawa KEADILAN Sabah akan terus berpegang teguh pada perjuangan reformasi yang diterajui Presiden KEADILAN merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memperkukuh nilai MADANI serta membawa sinar baharu kepada rakyat Sabah.
AMK Sabah menegaskan komitmen untuk terus memainkan peranan aktif sebagai benteng muda parti dalam memperjuangkan politik nilai, kesetiaan kepada perjuangan serta solidariti dalam KEADILAN.
Sumber: Kenyataan Media