KOTA KINABALU: 9 Oktober 2025 – Semua 46 projek Tamu Desa di Sabah disasar siap sepenuhnya sebelum Disember tahun ini, dengan kerjasama menyeluruh pejabat daerah menjadi tumpuan utama bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan berimpak kepada rakyat luar bandar.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, berkata penyelesaian projek mengikut jadual penting bagi membolehkan kementeriannya menyalurkan peruntukan baharu tahun hadapan untuk projek tambahan Tamu Desa di negeri ini.
Beliau menjelaskan bahawa prestasi pelaksanaan projek tahun 2025 akan menjadi penanda aras kepada kelulusan inisiatif baharu di bawah program pembangunan ekonomi desa.
Setakat ini, 46 tapak telah dikenal pasti bagi pelaksanaan Program Pembangunan Premis Tamu Desa (Tamu MADANI) di seluruh Sabah. Daripada jumlah itu, 39 projek telah diserahkan kepada pegawai daerah sebagai agensi pelaksana, manakala lima lagi surat pelantikan diserahkan baru-baru ini bagi projek di Ranau, Putatan, Sandakan, Keningau, dan Telupid.
Ewon turut mengumumkan bahawa RM10 juta peruntukan tambahan telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia pada 23 September lalu bagi Program Penyelenggaraan Gerai-Gerai Kecil (Tamu MADANI), selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Program MADANI Rakyat Sabah pada Mei lalu.
Beliau menegaskan bahawa KUSKOP perlu mengoptimumkan baki peruntukan sedia ada serta mempercepatkan semua kerja penyelenggaraan dan pembangunan agar pelaksanaan dapat disempurnakan dalam tahun ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Projek Tamu Desa Sabah 2025 yang dipengerusikan beliau di Pejabat Pembangunan Negeri Sabah turut dihadiri Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, pegawai kanan kementerian dan wakil pejabat daerah.
Ewon menghargai komitmen pegawai daerah yang hadir meskipun mesyuarat diadakan pada waktu malam, mencerminkan kesungguhan mereka memastikan kejayaan program berkenaan.
Beliau menegaskan, pelaksanaan projek Tamu Desa bukan sekadar membina prasarana perniagaan, tetapi turut berperanan memperkukuh ekosistem keusahawanan luar bandar, meningkatkan pendapatan komuniti dan memperkasa ekonomi tempatan secara menyeluruh.