Joachim Sanggah Tuduhan Rasuah, Sifatkan Dakwaan Warisan Bermotif Politik

KOTA KINABALU: 9 Oktober 2025 – Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, menolak sekeras-kerasnya tuduhan rasuah yang dilemparkan terhadapnya oleh pemimpin Parti Warisan, Terrence Siambun, sambil menyifatkan dakwaan itu tidak bertanggungjawab, mengelirukan dan bermotif politik.

Joachim berkata kenyataan Terrence yang mendakwa beliau mengaku bersalah selepas mengesahkan ketulenan satu video tular adalah tafsiran berniat jahat serta cubaan memutarbelitkan fakta untuk mencipta persepsi negatif terhadap PBS.

Menurut beliau, mengakui video berkenaan tulen tidak bermaksud mengaku melakukan kesalahan kerana ketulenan dan kesalahan adalah dua perkara berbeza. Tegasnya, tiada mana-mana pihak dalam PBS yang pernah meminta atau menuntut sebarang wang seperti yang digambarkan oleh pihak tertentu.

Katanya, menukar konteks kenyataan beliau kepada seolah-olah “pengakuan rasuah” adalah tindakan tidak jujur dan bermotif politik, selain bertujuan merosakkan imej parti dalam suasana politik menjelang pilihan raya negeri.

Terdahulu, Terrence dilapor mendakwa pengesahan Joachim bahawa video terbabit tulen membuktikan wujud pertukaran wang, sambil menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera terhadap perkara itu.

Dalam pada itu, Joachim menegaskan PBS kekal komited terhadap prinsip ketelusan dan akauntabiliti sebagai parti tempatan tertua di Sabah yang telah melalui pelbagai fasa politik, termasuk kesukaran dan kejayaan.

Beliau berkata pengalaman itu memperkukuh iltizam parti untuk berkhidmat kepada rakyat melalui rundingan matang, dialog profesional dan kerjasama ikhlas antara semua pihak yang benar-benar mencintai negeri ini.

Mengulas perkembangan semasa, Dr. Joachim menyeru rakyat Sabah serta penyokong PBS agar terus bersatu dan menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disifatkannya telah membuktikan keikhlasan serta keberkesanan dalam pentadbiran.

Katanya, dengan sokongan padu rakyat, mandat yang lebih kukuh kepada GRS dalam pilihan raya negeri akan datang mampu memperkasakan visi Sabah sebagai negeri yang makmur, bermaruah dan berdikari.

Sumber: Facebook Dr. Joachim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal