KOTA KINABALU: 8 Oktober 2025 – Lima penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengesahkan pendirian untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus menolak keputusan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang mahu STAR bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Kelima-lima ADUN berkenaan ialah Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Annuar Ayub (Liawan), Datuk Flovia Ng (Tulid) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).
Dalam kenyataan bersama pada Selasa, mereka menegaskan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, serta menekankan pentingnya kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan di Sabah.
Menurut mereka, keutamaan kini adalah memastikan kesejahteraan rakyat serta meneruskan agenda pembangunan di bawah kerajaan negeri pimpinan GRS.
Keputusan itu turut memberi isyarat jelas bahawa lima wakil rakyat terbabit akan mempertahankan kerusi masing-masing atas tiket GRS pada PRN17 nanti.
Langkah tersebut dilihat mengukuhkan kedudukan GRS selepas STAR pimpinan Jeffrey mengumumkan keluar daripada gabungan itu minggu lalu.
Sumber: Kupikupifm