STAR Beri Tempoh Sehingga Esok Lima ADUN Ubah Pendirian

KOTA KINABALU: 7 Oktober 2025— Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memberi tempoh sehingga esok kepada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar parti untuk menukar pendirian mereka sebelum tindakan lanjut diambil.

Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, beliau telah memberikan tempoh seminggu kepada kelima-lima ADUN terbabit bagi membuat keputusan dan separuh daripada tempoh itu telah pun berlalu.

“Ramai orang bersedia menggantikan mereka. Saya telah memberikan tempoh satu minggu, dan separuh daripada masa itu telah pun berlalu. Kita tunggulah,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa STAR akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (EMT) esok bagi membincangkan kedudukan lima ADUN berkenaan serta menentukan tindakan selanjutnya.

Jeffrey berkata, parti itu tidak akan teragak-agak menggantikan mereka dengan calon baharu sekiranya tiada perubahan pendirian.

“Kerusi itu kita hadiahkan kepada mereka, jadi jika mereka tidak membuat pendirian seperti sepatutnya, kita akan beri kepada calon baharu. Ini peluang untuk memberi ruang kepada orang muda dan pejuang setia,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal