6 Negeri Dalam Zon Risiko Gempa Bumi – JMG

KUALA LUMPUR: 7 Oktober 2025– Enam negeri di Malaysia dikenal pasti berada dalam zon berisiko gempa bumi berdasarkan hasil kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Peta Seismotektonik Malaysia yang terkini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii, berkata negeri yang dikenal pasti terdedah kepada ancaman tersebut ialah Pahang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, hasil pemetaan menunjukkan kewujudan zon sesar aktif di negeri-negeri berkenaan yang berpotensi mencetuskan gegaran pada masa hadapan.

Sehubungan itu, pengemaskinian Peta Bahaya Seismik Malaysia sedang dilaksanakan oleh JMG dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), universiti tempatan dan agensi teknikal berkaitan.

Pengemaskinian ini turut mengambil kira data terkini termasuk kejadian gempa bumi baru-baru ini, kewujudan sesar aktif, bahan geologi serta maklumat siasatan tanah, jelasnya.

Mengulas mengenai gegaran yang berlaku di Segamat dan Batu Pahat, beliau menjelaskan bahawa kejadian tersebut berpunca dari proses pelarasan semula tenaga tektonik dalam sesar kuno yang bertujuan menstabilkan kerak bumi.

Bagaimanapun, berdasarkan analisis semasa, Segamat dan negeri Johor secara keseluruhan masih berada dalam zon selamat, meskipun terletak berhampiran lanjutan sistem Sesar Mersing, iaitu antara sistem sesar utama di bahagian timur negeri itu.

Langkah kerajaan memperkukuh pemetaan seismik negara disifatkan penting dalam meningkatkan kesiapsiagaan terhadap risiko bencana geologi, khususnya di kawasan yang berhampiran zon sesar aktif.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal