KOTA KINABALU: 4 Oktober 2025– Seramai 30 pegawai dan kakitangan Istana Seri Kinabalu melafazkan serta menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen mereka untuk menolak sebarang bentuk rasuah dalam pelaksanaan tugas.
Majlis yang diadakan di Dewan Utama Istana Seri Kinabalu itu dipimpin oleh Setiausaha Sulit kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Izarudin Jalaludin, dan disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Fuad Bee Basrah.
Penganjuran program tersebut bertujuan memperkukuh budaya kerja berintegriti dalam kalangan warga Istana Seri Kinabalu, di samping menyokong usaha berterusan SPRM memperluas pelaksanaan IBR di seluruh negeri.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Sabah, Syamsul Osman; Timbalan Pengarah (Pencegahan), Alexander S. Kunghi; Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat (PenMas), Maysara Mohammad; dan Pegawai PenMas, Jasni Gayung.
Pelaksanaan ikrar ini menggambarkan kesungguhan Istana Seri Kinabalu dalam memastikan setiap pegawai dan kakitangan memelihara prinsip integriti, bebas dari sebarang salah guna kuasa atau penyelewengan, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang telus dan berakauntabiliti.
Sumber: Kupikupifm